Cerita ArtisHiburan

Anuar Zain Idam Buat Konsert Di Royal Albert Hall London

Penyanyi Anuar Zain menyatakan keinginannya untuk menjayakan konsert di lokasi luar negara memandangkan dirinya sudah lebih daripada 30 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni  tanah air.

Antara salah satu lokasi yang menjadi idamannya ialah di pentas berprestij Royal Albert Hall, London yang pernah menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menjayakan persembahan di sana pada 1 April 2005.

“Kalau boleh nak buat persembahan di Royal Albert Hall, tapi perkara ini semua melibatkan banyak kos yang perlu difikirkan.

“Macam saya, kalau terlibat dalam mana-mana persembahan, saya lebih senang gunakan pemuzik yang selalu saya bekerjasama sebab masing-masing dah faham cara kerja di antara satu sama lain.

“Itulah macam saya cakapkan tadi, siapa tak mahu buat persembahan di lokasi luar negara tapi perkara sebegini memerlukan banyak perbincangan sebab ia melibatkan kos yang bukan sedikit serta tenaga kerja yang ramai untuk merealisasikan impian ini,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media Majlis Makan Malam Amal Sepetang Bersama Anuar Zain yang berlangsung di Laman Pengantin Zarlith, Kuala Lumpur hari ini.

Showcase amal yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 6 Mei ini turut diserikan dengan kehadiran bintang undangan iaitu Zamani Slam dan penyanyi Singapura, Fauzie Laily.

Mengenai persembahan yang akan diketengahkan pada majlis makan malam amal itu, Anuar berkata beliau akan cuba memasukkan susunan muzik yang segar terhadap lagu-lagunya agar dapat membawa kelainan kepada penonton pada malam tersebut.

“Susunan muzik pada malam itu akan lebih fresh, walaupun begitu saya tidak akan terlalu mengubahnya sehingga lari daripada melodi asal sesebuah lagu itu.

“Kesemua music arrangement baharu itu mendapat persetujuan daripada saya sendiri yang mana saya turut berbincang dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan yang selama ini sering mengiringi persembahan saya.

“Pada malam itu juga saya akan bermain piano dan siapa tahu mungkin malam itu saya akan menyanyi bersama Zamani dan Fauzie sekali, semuanya bergantung kepada permintaan penonton pada malam itu,” ujar Anuar yang akan menghiburkan peminatnya selama 45 minit menerusi lapan buah lagu hits seperti Lelaki Ini, Keabadian Cinta dan Sesuci Cintamu.

Sementara itu Pengarah Urusan E & F Entertaiment, Fendi Hassan berkata, persembahan amal yang dijayakan tiga penyanyi lelaki itu adalah bagi menyumbang kepada dana Yayasan Lace Dato Rokiah yang terletak di Johor Bahru.

“E & F Resources selaku penganjur akan memberikan sumbangan kepada Yayasan Lace Dato Rokiah yang ditubuhkan bertujuan untuk membantu orang yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga emas serta ibu tunggal di Johor Bahru,” katanya.

Tiket-tiket berharga RM298, RM398, RM598, RM798, RM998 dan RM1,598 boleh didapati di laman web www.ticketcharge.com.my atau layari laman Facebook www.facebook.com/aneveningwithstars. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button