Aprena Manrose Tidak Rasa Sensitif Apabila Sering Ditanya Mengenai Cahaya Mata
Pelakon popular, Aprena Manrose mengakui tidak berasa sensitif apabila sering ditanya mengenai cahaya mata.
Aprena berkata, meskipun telah berkahwin selama empat tahun dan masih belum dikurniakan anak, namun dia anggap masih belum ada rezeki buat dia dan suami.
“Saya sendiri tidak berasa sensitif apabila ditanya mengenainya dan tahu orang pasti akan bertanya sebab saya dah lama berkahwin.
“Adakalanya agak tertekan juga, tetapi saya percaya Allah akan beri rezeki itu nanti,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika majlis sidang media secara virtual bersama pelakon Hatimu Sedingin Salju pada pagi tadi.
Aprena memberitahu, sepanjang tempoh pandemik ini juga dia dan suami berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dan mencari cara perubatan yang sesuai.
“Dalam tempoh sekarang ini Allah beri saya peluang untuk cuba fokus tentang dapatkan anak pula.
“Sebelum ini memang saya terlalu sibuk dengan dunia lakonan sehingga jarang berfikir ke arah itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai drama terbaharu lakonannya itu, Aprena memberitahu dia memegang watak sebagai Rania.
Ujarnya, dia juga gembira kerana berpeluang dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid dan Hafeez Mikail.
“Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Rania yang merupakan seorang anak tunggal dan dibesarkan oleh ibu bapa yang sangat mengambil berat terhadap dirinya.
“Kemudian Rania telah putus cinta dan membuatkan dirinya menjadi ego sehinggalah dia bertemu Arman,” jelasnya ketika menceritakan mengenai wataknya.
Hatimu Sedingin Salju terbitan Orangetree Production Sdn. Bhd akan mengisi slot Akasia bermula hari ini (24 Jun 2021), setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam.
Ia turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada pukul 8.00 malam pada hari yang sama selepas siaran di TV3. – KopiPlanet.com