Cerita ArtisHiburan

Barisan Artis Popular Meriahkan Karnival Cinta Masjid 2018

Bagi memupuk semagat cintakan masjid di kalangan para belia, pihak kariah Masjid Amru Ibni Al’As, Bandar Baru Sentul bakal menganjurkan Karnival Cinta Masjid 2018 yang akan berlangsung dari 2 & 3 Februari ini.

Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi menarik minat belia dan penduduk setempat bagi memeriahkan acara tersebut.

Antara aktiviti yang boleh didapati di karnival ini seperti persembahan nyanyian kerohanian daripada penyanyi popular seperti Yasin Sulaiman, Andy Flop Poppy, Tam Spider, Azmi Saat, Afad and Friends dan Anas Tahir.

Menurut Pengerusi Masjid, Datuk Haji Abdul Razak Hussaim, ini merupakan kali ketiga pihaknya menganjurkan karnival sebegini sejak empat tahun lalu.

“Tahun ini merupakan penganjuran kali ketiga Karnival Cinta Masjid.  Program ini kami jalankan dua tahun  sekali.  Jika sebelum ini kami hanya buat secara kecil-kecilan, tahun ini kami adakan secara besar-besaran bagi mengumpul dana untuk menambah baik ruang dalaman dan luaran masjid.

“Kali ini juga kami akan bekerjasama dengan penyanyi terkenal agar mereka boleh menarik minat para belia untuk sama-sama memupuk perasaan cintakan masjid. Ini cara pendekatan yang dilihat paling sesuai untuk tujuan itu,” katanya ketika ditemui di Masjid Amru Ibni Al’As, Bandar Baru Sentul hari ini.

Menerusi karnival itu, pihak masjid mensasarkan dana sebanyak RM300,000 berjaya dikumpul untuk tujuan mengecat bangunan dan kubah masjid serta menukar karpet masjid.

Sementara itu, bekas anggota kumpulan Raihan, Afad yang kini bersama kumpulan Afad & Friends berkata karnival ini bukan sahaja memberikan hiburan sebaliknya turut menerapkan ilmu pengetahuan buat pengunjung seperti segmen Forum Bicara yang akan dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor.

“Selain berhibur, karnival ini juga bertujuan untuk mendidik penduduk setempat. Selama ini orang kita hanya beramai-ramai ke masjid secara bermusim. Contohnya ketika bulan Ramadan, lepas itu kurang datang.

“Jadi dengan karnival ini diharapkan penduduk setempat akan terus mengimarahkan masjid dan menjadikan ia sebagai rumah kedua mereka,” katanya.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada AR by Azirun Ramli Sdn Bhd.

Selain persembahan nyanyian dan forum bicara, Karnival Cinta Masjid turut mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, aktiviti memanah, menunggang kuda dan pertandingan memasak yang terbuka buat seisi keluarga.

Ia turut menyediakan pelbagai booth-booth interaktif serta jualan makanan dan minuman dari trak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button