Cerita ArtisHiburan

Asmidar Dah Lebih 20 Tahun Buka Puasa Di Gerai Murtabak

Berkongsi pengalaman Ramadan, penyanyi dan pelakon Asmidar Ahmad berkata dia dan keluarganya sudah biasa berbuka puasa di Bazaar Ramadan Wangsa Maju sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya perniagaan murtabak yang diusahakan bapanya giat dijalankan sepanjang bulan puasa dan mereka juga sudah mempunyai pelanggan tetap yang ternanti-nantikan air tangan bapanya pada setiap tahun.

“Saya dan keluarga dah biasa buka puasa di bazar, memang tidak berkesempatan nak berbuka di rumah kecuali kalau jualan habis awal pada hari itu.

“Sudah 20 tahun keluarga saya mengusahakan jualan Murtabak Mat Labu. Menariknya, ayah saya hanya menjual murtabak setahun sekali sahaja pada bulan puasa biarpun kami mengusahakan gerai menjual nasi lemak dan roti canai pada hari-hari biasa.

“Ayah cakap nak jadikan murtabaknya itu satu menu istimewa, biar ramai tertunggu-tunggu Murtabak Mat Labu pada setiap kali bulan puasa,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Namun begitu, tradisi berbuka di gerai tidak dapat diteruskan Asmidar pada tahun ini apabila dia terikat dengan latihan lakonan teater Bangsawan Dendam Laksamana yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Menerusi teater arahan Pat Ibrahim itu, Asmidar memegang watak sebagai Tun Aria, dayang yang menjaga Wan Anum lakonan Nadia Aqilah.

“Ini merupakan pengalaman kedua saya berlakon teater. Sebelum ini berlakon teater muzikal, kali ini ia agak mencabar sebab teater berciri bangsawan. Saya perlu lebih beri fokus pada cara penyampaian dialog seperti orang dahulu kala.

“Bagi saya ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan abang Pat yang sememangnya sangat komited dalam kerja yang dilakukannya,” katanya.

Bangsawan Dendam Laksamana akan mula dipersembahkan di lapan lokasi seluruh Semenanjung Malaysia bermula 25 Jun hingga 11 November ini.

Jerayawara (road tour) Bangsawan Dendam Laksamana melibatkan lokasi di Johor (25 Jun-1 Julai), Melaka (2-8 Julai), Pahang (9-5 Julai), Terengganu (15-21 Julai), Pulau Pinang (22-28 Julai), Kedah (30 Julai-5 Ogos), Perak (5-10 Ogos), Kuala Lumpur (29 Oktober – 11 November).

Naskhah yang diterbitkan Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) itu dibintangi Nadia Aqilah, Hairi Safwan, Azizah Mahzan, Fitri Hiswandy dan Nasz Zally. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button