
Astro Beri Dua Saluran Percuma Untuk Tayangan Ramadan Dan Raya
Stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan dua saluran percuma sempena merai kedatangan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.
Dua saluran tersebut akan menayangkan kandungan program Ramadan dan Syawal selari dengan tema Meriah Bersama yang dipilih untuk tahun ini.
Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kandungan program untuk tahun ini mengikut permintaan penonton selain memasukkan kandungan yang sarat dengan mesej-mesej positif.
“Astro sentiasa berhasrat memberikan program-program terbaik untuk ditonton, didengari dan dan dilayari pelanggan setia kami dan bulan Ramadan tidak terkecuali.
“Sedar akan tanggungjawab besar dalam mendidik penonton kami dengan program-program yang mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam diri mereka, kami bertindak sebagai sebuah wahana penyampaian kandungan Islam yang unggul buat penonton.
“Kami merasakan bahawa tema ‘Meriah Bersama’ yang dipilih ini bertepatan dengan usaha kami untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama kami.
“Tema ini beri maksud yang sangat meluas dan ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Program Ramadan 2018 Astro di Restoran Wow KL, Kuala Lumpur hari ini.
Saluran khas Ramadan HD (saluran 122) boleh dinikmati secara percuma kepada semua pelanggan Astro mulai 12 Mei ini.
Saluran itu kemudiannya akan dipanjangkan ke musim perayaan menerusi saluran Raya HD dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.
Menerusi saluran itu, ia bakal menyajikan seleksi program Ramadan dan Syawal terbaik yang disusun merangkumi pelbagai genre berbeza.
Sebanyak 38 program menarik telah disusun untuk santapan rohani penonton antaranya, Diari Ramadan Neelofa, Resepi Memikat Isteti musim kedua, Al Kauthar: Sentuhan Qalbu yang dikemudikan oleh Ustaz Don Daniyal.
Selain itu, peminat drama Melayu tidak dilupakan apabila dua slot drama ditayangkan pada waktu perdana jam 7 dan 10 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Drama Pengantin Musim Salju yang dibintangi Alif Satar dan Siti Nordiana akan ditayangkan jam 7 malam manakala Rahsia Hati Perempuan gandingan Hisyam Hamid dan Mira Filzah pula disiarkan pada pukul 10 malam. – KopiPlanet.com