
Awi Rafael, InTeam, Brothers Antara Peserta Gema Gegar Vaganza 2
Awi Rafael dan kumpulan nasyid popular 90-an, Brothers dan InTeam antara 11 selebriti yang bakal bertanding dalam program realiti Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) yang akan bersiaran mulai 31 Mac ini.
Turut bertanding dalam GGV2 ialah kumpulan Devotees, Ippo Hafiz, Mestica, Rabithah, pasangan duo Heliza & Hazwani, Adeep Nahar, Farah Asyikin dan Fitri Haris.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata penganjuran GGV2 ini adalah rentetan kejayaan GGV yang mencipta fenomena tersendiri tahun lalu.
“Impak yang diberikan oleh Gema Gegar Vaganza melebihi skala yang diharapkan apabila bukan sahaja program ini menjadi sebutan rakyat Malaysia malahan berjaya mencatatkan rekod sebagai program Islamik nombor satu di Malaysia.
“Kami masih mengekalkan format penganjuran GGV2 seperti tahun lalu. Cuma pada musim ini kami menampilkan 11 peserta berbanding 10. Keputusan ini diambil selepas kehadiran ramai penyanyi berbakat hadir ke sesi ujibakat tertutup. Kami yakin bakat mereka ini wajar diangkat kembali untuk kebaikan kita bersama,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Gema Geganza 2 di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.
GGV masih mengekalkan Siti Nordiana dan Fikri Ibrahim sebagai hos. Mereka berdua turut akan diiringi Fakhrul UNIC selaku hos bersama.
Persembahan para peserta akan diadili sepenuhnya oleh dua juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan selebriti Indonesia, Oki Setiana Dewi serta seorang juri jemputan pada setiap minggu.
Juara GGV2 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi.
Tempat kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam masing-masing akan memenangi hadiah wang tunai RM30,000, RM20,000, RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.
GGV2 yang bersiaran selama tujuh minggu mulai 31 Mac ini akan ditayangkan pada jam 9 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD. – KopiPlanet.com