
Dua penyanyi legenda rock tanah air, Datuk Awie dan Ella telah dipilih untuk bergabung dalam menjayakan Acara Dinner GIG 2018 yang akan berlangsung pada 7 Disember 2018.
Dianjurkan oleh FUFC The Fighters, tujuan utama acara tersebut dianjurkan adalah untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan kelab bola sepak Felda United.
“Penilaian demi penilaian telah dijalankan oleh FUFC The Fighters sehingga akhirnya Awie dan Ella dipilih untuk menjayakan acara ini yang berlangsung di Hotel Tenera Bangi.
“Status legenda yang dimiliki oleh kedua-dua penyanyi tersebut sealiran dengan kami yang sememangnya amat disegani dalam industri sukan bola sepak,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kewangan & Pemasaran FUFC The Fighters, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman.
Beliau berkata, terdapat tiga kategori pakej tiket yang akan dijual iaitu Pakej Silver (RM250 seorang), Pakej Gold (RM350 seorang) dan Pakej Platinum (RM500 seorang).
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 800 tetamu dengan sasaran untuk mengutip dana antara RM200,000 hingga RM250,000.
“Setiap penonton yang datang bakal membawa pulang goodie beg yang mengandungi sehelai t-shirt istimewa dan mug serta hadiah cabutan bertuah iaitu dua unit gitar elektrik dan dua unit gitar akustik yang ditandatangani oleh Awie dan Ella.
“Selain itu, penonton dari luar Lembah Klang yang datang ke acara berkenaan juga akan mendapat harga istimewa sekiranya ingin menginap di Hotel Tenera ini,” ujarnya.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket boleh hubungi talian 010-7616844, 014-5146357, 013-4076679, 03-89299600 atau menerusi laman web www.stubapp.com atau dibeli di kaunter tiket Hotel Tenera Bangi. – KopiPlanet.com