EventHiburan

Baik Punya Concert 4D Memang Awesome, Cukup Rasa!

Segalanya cukup rencah! Baik Punya Concert 4D yang menggabungkan empat sahabat baik bergelar Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Datuk AC Mizal dan Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie mengundang gamat di kalangan penonton di Panggung Sari, Istana Budaya semalam.

Menerusi pementasan pertama semalam, mereka memberikan hiburan maksimum dengan menggabungkan nyanyian yang diselang-selikan penceritaan sepanjang perkenalan mereka berempat.

Segmen pertama menyaksikan empat datuk ini (4D) mengambil kesempatan ‘mengaibkan’ di antara satu sama lain yang mana mengundang hilai tawa penonton yang tidak sudah.

Sebelum hadir di pentas utama, kehadiran mereka telah diperkenalkan oleh Tok Dalang yang sinonim dengan pementasan wayang kulit. Usaha ini dilihat sangat bagus lebih-lebih buat penonton kanak-kanak yang diberi pendedahan mengenai wayang kulit pada usia muda.

Sesi ‘roasting’ itu dilihat paling menggundang tawa penonton yang cukup terhibur dengan pendedahan masing-masing mengenai perangai buruk kawan baik yang paling tidak disukai mereka. Individu yang dibahan itu perlu duduk di satu sudut tanpa boleh menyampuk sebelum 4D menghiburkan penonton dengan seleksi lagu antaranya Picture of You (nyanyian asal Boyzone), Fiona dan lagu hits Zaiton Sameon, Menaruh Harapan yang ditujukan khas Awie, Afdlin dan AC terhadap sahabat baik mereka, Hans yang masih menaruh harapan untuk mempunyai sebuah keluarga sendiri di masa hadapan.

Seperti biasa, Hans yang masih belum berpunya menjadi topik panas mereka untuk menggenakan pelakon filem Hanya Kawan itu sementara AC pula dibahan mengenai penjualan gelangnya. Awie yang sering terpalit dengan kes mahkamah pula dibahan ‘artis mesra mahkamah’ oleh quartet popular ini. ‘Kepala’ mereka, Afdlin pula dibahan mengenai tubuh badan comel yang menjadi trademark dari dahulu sehingga kini.

Memasuki segmen kedua, mereka mempersembahkan lagu-lagu tribute penyanyi popular era 80-an seperti lagu The Police, Every Breath You Take yang turut di’sing along’ oleh penonton yang cukup sporting. Konsert kali ini juga meninggalkan kenangan manis buat Hans apabila buat pertama kalinya beliau berjaya mengatasi ‘ketakutannya’ untuk menyanyi di hadapan orang ramai.

Suasana pentas berprestij itu kemudiannya mula bertukar apabila mereka berempat menyelitkan segmen penghargaan kepada suri di hati mereka, ibu masing-masing dengan sebuah lagu Janji Pada Umi. Paparan imej keempat-empat selebriti itu ditayangkan di pentas sehingga menyebabkan Hans tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir apabila mengingatkan kepada mendiang ibunya, Carmina Anciano Isaac yang meninggal dunia akibat penyakit barah, enam tahun lalu.

Menghampiri ke penghujung konsert, 4D tampil dengan kelainan menyanyikan lagu bergenre K-Pop yang sudah ditukar lirik humor serta gelagat lucu AC yang bergaya dengan ala selendang ketika menyampaikan lagu popular filem Kabhi Kushi Kabhi Gham, Bole Chudiyan.

Menutup persembahan dengan lagu Baik Punya Cilok, Afdlin mewakili ketiga rakannya mengumumkan yang mereka bakal muncul dengan filem sequel Baik Punya Cilok, iaitu Baik Punya Cilok 2 yang akan menjalani penggambaran dalam masa terdekat.

Secara keseluruhannya, memang tidak puas menonton persembahan mereka yang berlangsung selama dua setengah jam itu kerana ada sahaja aksi lucu dan spontan yang berjaya memecah hilai tawa penonton yang terdiri daripada pelbagai golongan usia.

Konsert mereka turut dihadiri ramai rakan artis yang memberikan sokongan antaranya seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Fauziah Latiff dan Elizad Sharifuddin.

Masih belum terlambat untuk anda mendapatkan tiket kerana show Baik Punya Cilok Concert 4D akan berlangsung untuk dua lagi iaitu pada hari ini dan esok, jam 8.30 malam.

Harga tiket bermula RM98 boleh didapati menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com atau hubungi Tall Order Sdn. Bhd di talian 03-42532241.

Baik Punya Cilok 4D dianjurkan oleh Tall Order Sdn. Bhd., Awie Entertainment Sdn. Bhd., DNF Pictures Sdn. Bhd. dan Vision Works Sdn. Bhd. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button