Cerita ArtisHiburan

Bakal Tampil Fesyen Ekstravaganza, Aina Abdul Janji Jaga Sensitiviti Dalam Penampilan Di Konsert ANWAA 2.0

Penyanyi Aina Abdul berjanji akan menjaga sensitiviti berpakaian ketika beraksi di konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0) Live at Istana Budaya yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

Biarpun masih mengekalkan identiti yang tersendiri dalam berfesyen, Aina mengambil kira semua saranan yang diberikan oleh orang ramai.

“Setiap malam konsert ANWAA 2.0, saya akan pakai busana berbeza. Saya bakal memperagakan 10 persalinan busana hasil ciptaan pereka fesyen tempatan sepertI Melinda Looi, Zaimi Zulkafli, Rizman Ruzaini, Tsyahmi, Wan & Mary, Behati, Khuntumn dan Masyadi Mansoor.

“Saya tetap mengekalkan identiti Aina Abdul iaitu berani bereksperimen dalam berfesyen, tetapi saya mengambil kira saranan orang ramai dan akan menjaga sensitiviti agar tidak terkait isu panas.

“Baju yang saya gayakan mempunyai maksud tersendiri dan ada juga bersifat ekstravaganza seperti yang selalu saya pakai. Tunggu dan lihat hasilnya nanti, saya memang tak sabar,” kata Aina.

Menurutnya, ANWAA 2.0 menjadi medan buat dirinya menonjolkan bakat sendiri dan sebagai salah satu tanda terima kasih daripada dirinya kepada semua peminat yang selama ini tidak pernah berhenti menyokong.

Dalam pada itu, Aina bersyukur segala persiapan berjalan lancar serta memohon agar perjalanan konsert dipermudahkan nanti.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Konsert ini menjadi tanda usaha gigih saya dan team Aina Abdul Entertainment untuk memberikan sesuatu untuk peminat.

“Kalau boleh pada malam konsert, saya nak penonton sama-sama menghayati apa yang saya cuba sampaikan, sama-sama menangis, sama-sama ketawa, sama-sama menyanyi.

“Saya nak semua puas menyaksikan ANWAA 2.0 dan saya memohon doa semua peminat agar perjalan konsert selama dua malam dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button