Banyak Tawaran Berlakon, Syifa Melvin Mahu Lebih Fokus Pada Perniagaan
Pelakon dan jutawan kosmetik, Syifa Melvin mengakui walaupun banyak menerima tawaran berlakon, namun buat masa kini dia lebih selesa memberikan tumpuan terhadap perniagaan jenama Kekasih yang diusahakan bersama adik-beradiknya.
Menurut Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26, dia seorang yang sangat teliti dan suka menumpukan satu perkara sahaja dalam satu-satu masa.
“Disebabkan kekangan masa dan bisnes, saya terpaksa mendahulukan satu komitmen sahaja pada satu masa tertentu. Saya risau kalau buat semua perkara nanti, ia tidak akan ke mana.
“Buat masa sekarang, saya lebih selesa dikenali sebagai ahli perniagaan dan teruja dengan apa yang diusahakan kami adik-beradik buat masa ini.
“Kalau ada naskhah bersesuaian dan kena pada masanya, InsyaAllah saya akan pertimbangkan dan kembali ke set penggambaran. Cuma keutamaan saya kini lebih kepada bisnes,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Syifa ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Kekasih iaitu maskara Hijab Mata yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Selangor baru-baru ini.
> Baca: 13 Tahun Dalam Dunia Masakan, Anis Nabilah Akhirnya Keluar Buku Resipi
Mengulas mengenai kejayaan Kekasih walaupun baharu 16 bulan perniagaan itu ditubuhkannya bersama dua kakaknya, Syafiqa, Syatilla dan adiknya, Syida, Syifa berkata, “Kami sebenarnya tak sangka Kekasih boleh pergi sejauh ini dan dapat sambutan luar biasa dalam masa yang singkat.”
“Asalnya Kekasih ini hanya untuk projek sampingan sahaja sebab kami nak tolong Kak Long (Syafiqa) yang masa itu kematian suami. Kami nak tolong dan distract dia daripada kesedihan maka terhasillah perniagaan Kekasih. Allah dah susun cantik-cantik dah, Dia ambil kekasih (suami) Kak Long dan Dia kurniakan kekasih yang sekarang (perniagaan Kekasih).
“Setakat ini Kekasih dah ada 5,000 stokis di seluruh negara dan kami mempunyai perancangan untuk melahirkan lebih 100 orang jutawan menerusi perniagaan ini di masa akan datang,” katanya.
Kekasih by The Melvins menawarkan beberapa pilihan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir, pembayang mata, pemerah pipi dan terbaharu, maskara Hijab Mata.
Kejayaan mereka turut disusuli dengan lebih 60 papan iklan billboard gergasi Kekasih yang akan didirikan di sekitar lebuh raya utama negara yang mencecah kos sebanyak lebih setengah juta. – KopiPlanet.com