Bawa Watak Poligami, Zarul Umbrella Akui Dikecam Peminat
Penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella mengakui dia dikecam oleh segelintir peminat di laman sosial gara-gara membawakan watak lelaki berpoligami dalam drama Syurga Yang Kedua bersama Fasha Sandha dan Siti Elizad.
Menurut Zarul, meskipun dikecam dia tidak kisah dan hanya menerima sebarang kecaman-kecaman tersebut dari sudut yang positif.
“Penonton tengok serta faham jalan cerita drama berkenaan dan mereka menerima lakonan saya. Kalau nak kecam saya tak kisah kerana itu hanya lakonan semata-mata.
“Bagaimanapun kebanyakan kecaman itu bukanlah ditujukan kepada saya, tetapi lebih kepada watak Danial yang saya bawakan itu,” ujarya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Mentor Otai baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kerjayanya ketika ini, Zarul memberitahu dia kini baru sahaja selesai menyiapkan single terbaharunya berjudul Remuk yang akan dilancarkan pada awal April ini.
Pada masa sama, penyanyi yang pernah bertugas di awan biru sebagai pramugara itu juga menyatakan dia terpaksa menolak tiga tawaran berlakon.
Biarpun menyedari bidang lakonan sudah semakin sebati dengan dirinya, namun Zarul menyatakan keputusan itu dibuat kerana tidak mahu menyusahkan ramai pihak.
“Biarlah saya memberikan komitmen terlebih dahulu kepada program Mentor Otai ini supaya tidak menyusahkan orang lain dan dapat fokus kepada protege saya,” ujarnya.
Zarul akan bersaing dengan mentor lain seperti Misha Omar, Tam Spider dan Siti Sarah. Mentor Otai akan mula bersiaran di TV3 bermula pada 18 Mac ini di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. – KopiPlanet.com