
Bekas Stylist Dakwa Ryan Seacrest Buat Gangguan Seksual
Seorang bekas penata gaya, Suzie Hardy baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa pengacara terkenal, Ryan Seacrest telah mencabulnya semasa dia masih lagi berkhidmat untuk selebriti terbabit.
Suzie tampil membuat pengakuan terbuka itu selepas dia diberhentikan kerja pada 2013 sebaik dia melaporkan kesalahan seksual itu kepada orang atasannya.
Pengakuan tersebut turut diperakui oleh salah seorang bekas rakan sekerja Suzie yang enggan dikenali oleh pihak media.
“Saya pernah nampak ketika Suzie sedang mengikat tali kasut Ryan, Ryan seperti sengaja mendekatkan alat sulitnya ke arah kepala Suzie. Bukan sekali insiden itu berlaku, malah banyak kali,” katanya.
“Selain itu, Ryan juga pernah memeluk Suzie dari arah belakang sehingga menyebabkan Suzie menjerit “lepaskan saya”. Saya boleh nampak ketika itu alat kemaluan Ryan sedang tegang menerusi seluar dalam yang dipakainya,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, rakannya itu yang telah memberi galakan kepada Suzie untuk melaporkan hal itu kepada pihak atasan namun sebaliknya yang berlaku apabila dia pula diberhentikan kerja atas alasan dakwaannya itu tidak berasas sama sekali.
Selain dipeluk, Suzie turut mendakwa pengacara American Idol itu juga pernah secara sengaja memegang alat sulitnya dan memukul kuat di bahagian punggungnya sehingga menyebabkan dia berasa sakit di bahagian itu untuk beberapa jam.
Walaupun berdepan dengan kontroversi itu, Ryan dilihat cukup tenang menafikan perkara terbabit malah mendakwa Suzie hanya mahukan wang semata-mata.
“Individu ini yang menuduh saya dengan dakwaan salah laku ini pernah meminta sejumlah wang, tapi saya tak bagi. Saya bekerja keras untuk mendapat kejayaan hari ini dan saya takkan bagi peluang untuk orang musnahkannya.
“Saya menafikan semua tuduhan tersebut dan saya harap isu ini tidak lagi berpanjangan,” katanya.
Susulan kenyataan yang dikeluarkan Ryan, peguam Suzie mengatakan tuduhan Ryan itu adalah dakwaan semata-mata kerana tiada bukti sama sekali yang wanita itu pernah memeras ugut wang daripadanya.
Untuk keadilan Suzie dan peguam kini hanya membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan wanita tersebut. – KopiPlanet.com