Bella Dally Tak Nak Terlalu Berkongsi Gambar Suami Di Instagram
Belajar daripada kesilapan lalu, pelakon Bella Dally mengakui dia kini lebih bersifat privasi dalam berkongsikan perihal rumah tangganya di laman sosial Instagram.
Bella, 28, yang diijabkabulkan dengan ahli perniagaan Arif Izuddin Mohd Radzali, 34, menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri kenapa pendekatan itu diamalkan oleh dirinya.
“Sekarang saya ambil pendekatan untuk lebih menjaga privasi. Salah satunya demi menjaga imej profesional sebagai seorang selebriti. Ikutkan suami memang tak kisah kalau saya nak berkongsi fotonya di Instagram, tetapi saya yang tidak mahu terlalu berkongsi kehidupan peribadi di media sosial.
“Kalau saya selalu post pasal suami di Instagram nanti katalah suatu hari saya terlalu sibuk tak sempat nak upload gambar suami, nanti netizen akan buat spekulasi yang hubungan kami bermasalah, itu yang saya cuba elakkan,” katanya.
Bella berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya Ariani FloRaya 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bella turut berkongsi cerita yang dia bakal berangkat mengerjakan ibadah umrah pada Isnin ini dengan ditemani suami tercinta.
“Ini merupakan kali pertama saya mengerjakan umrah. Ia lebih istimewa apabila saya pergi bersama-sama suami. Selain itu, kami juga akan dapat merasai pengalaman berpuasa di Mekah,” ujar Bella lagi.
Ketika ditanya soal cahaya mata, Bella secara ringkas berkata dia dan suami tidak merancang sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah SWT. – KopiPlanet.com