
Penyanyi dan pelakon, Asmawi Ani atau Mawi yang kini sudah menyandang gelaran sebagai pengarah menyatakan rasa kehairanannya terhadap sikap sesetengah netizen yang gemar mengkritik sesuatu naskhah sebelum menontonnya terlebih dahulu.
Filem sulung arahan Mawi yang ketika ini masih belum mempunyai tajuk itu dikecam baru-baru ini sebaik dia berkongsikan gambarnya semasa berada di set penggambaran di laman sosial Instagram miliknya.
“Pelik juga sebab filem ini masih belum ada poster, trailer dan masih belum lagi ditayangkan di pawagam, tetapi dah ada orang yang kritik dan kata tak best serta berkata bukan-bukan pasal filem ini.
“Saya harap lepas ini kalau nak kritik tengoklah poster dan trailernya terlebih dahulu atau pergi ke panggung dan tonton sebelum komen. Lepas itu, barulah nilai seikhlas-ikhlasnya tanpa ada sebarang rasa dengki atau busuk hati,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.
Walau bagaimanapun, Mawi turut melihat isu kecaman ini daripada sudut positif apabila ia secara tidak langsung dapat memberi publisiti kepada filem sulung arahannya itu.
“Saya ambil positif kecaman-kecaman yang diterima dan ini pun seperti membantu sebabnya filem ini sudah menjadi sebutan ramai, meskipun belum tayang lagi di pawagam.
“Apa-apa pun saya berterima kasih kepada segelintir yang mengecam serta mereka yang sentiasa menyokong perjalanan karier seni saya,” ujarnya lagi.
Filem berkenaan yang merupakan hasil terbitan syarikat produksinya, MW Entertainment Sdn. Bhd. dibarisi Hazama, Joey Daud, Along Cham, Kamarul Hj Yusoff dan Deen Maiden.
Ia mengisahkan tiga sahabat baik berasal dari kampung, dianggap sebagai kutu rayau yang mana bercita-cita untuk menjadi artis terkenal. Banyak dugaan yang mereka lalui sepanjang perjalanan meraih impian tersebut.
Persoalannya, adakah mereka berjaya untuk menjadi artis terkenal? Sama-sama nantikan filem berkenaan yang dijangka tayang di pawagam berdekatan anda pada April 2019. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Mawi