Cerita ArtisHiburan

Ben Ali & Nadiyah Shahab Pernah Dikecam Kerana Hasilkan Kek Perisa Telur Masin

Usaha tangga kejayaan. Itu merupakan ungkapan paling sesuai buat pasangan pelakon yang juga bergelar usahawan, Ben Ali dan isterinya, Nadiyah Shahab.

Memulakan perniagaan sekitar tahun 2018, siapa sangka bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras, kini perniagaan Absolut Chocolat yang diusahakan pasangan itu sudah mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang.

Kilang di bawah nama Absolut Brands Sdn Bhd berkeluasan 14,000 kaki persegi itu, selain menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, ia juga memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management.

Menurut Ben Ali yang juga Pengarah Urusan syarikat berkenaan, dia mengakui bukan mudah untuk berada di tahap sekarang.

“Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri, Nadiyah Shahab. Kami berdua melalui banyak fasa suka duka, turun naik. Namun itu semua menjadi kenangan dan pengalaman berharga.

“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak berserta sos. Memang sukar dibayangkan memori itu, terapi rezeki tak pernah salah alamat.

“Boleh dikatakan macam-macam lagilah pelbagai kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalnya pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya

Ujar Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, 30, selepas beberapa hari ‘menumpang’ pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah ke khemah menjual air kelapa yang juga terletak di Cheras.

“Kemudian setelah beberapa minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras. Dalam tahun 2018, memang kami kerap ‘berpindah randah’ dari satu tempat ke tempat lain. Kemudian kami bertukar ke Medan Connaught Cheras hujung tahun sama. Kami menyewa satu lot premis yang dibahagi dua bahagian

“Bahagian depan dijadikan pejabat, manakala belakang pula sebagai tempat pembungkusan kek dan penghantaran. Apabila perniagaan semakin berkembang kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan F&B (Food and Beverages) dan dalam talian masih mampu bernafas ketika pandemik Covid-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

“Kami hantar ke rumah dan orang ramai hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan. Macam harga kek kami dengan pelbagai perisa juga kekal dengan harga mampu milik iaitu sekitar RM69 ke RM79.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu kami menambah lagi tiga lot kedai. Ia menjadikan kesemuanya kini lima lot di Medan Connaught.

“Kami akan meneruskan operasi di lot sedia ada buat sementara waktu. Kilang ketika ini hanya menempatkan bahagian pengurusan. Dengan izin Allah, kami juga dapat membeli van pertama pada tahun 2019. Baru baru ini kami membeli lori pula,” katanya

Jelasnya lagi, pada 18 Februari depan genap tiga tahun jenama itu dipasaran dan pada Jumaat lalu (22 Januari) mereka telah berpindah ke kilang yang kini tersergam indah.

“Kami juga terbuka dan mencabar diri untuk bereksprimen dengan benda baharu. Susah sebenarnya nak kekal relevan dan mengeluarkan produk unik dan lain daripada yang lain. Macam idea pertama kami membuat kek telur masin yang pertama di Malaysia juga awalnya menimbulkan reaksi negatif.

“Ada yang tak boleh menerimanya dan menganggap sebagai pelik kerana selalu telur masin dimakan dengan nasi. Tapi kita melawan arus dengan menghadirkan kek perisa berkenaan. Memang kena kecam teruk juga pada awalnya. Tapi sekarang orang sudah mula menerimanya dan wujud aliran sama dalam kalangan pesaing,” katanya

Ben menambah, dia berharap tahun 2021 penuh mencabar ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya

“Banyak lagi yang ingin kami kecapi. Cita cita kami sendiri mahu membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa.

“Kami takkan berada di seni tanpa sokongan pelanggan tersayang. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami hingga kini,” katanya. – Kopiplanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button