
Berjaya Satukan 2 Juara Musim Lalu, Lagu Cinta Kita Kembali Untuk Musim Kedua
Program Lagu Cinta Kita yang telah berjaya menyatukan dua juara mereka iaitu Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan menjadi pemangkin untuk meneruskan rancangan tersebut bagi memberi jalan kepada sang solo untuk bertemu cinta sejati.
Pasangan Naqi dan Ayuni yang menyulam cinta ketika dipertemukan dalam rancangan itu telah selamat diijabkabulkan pada 25 Julai lalu.
Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, ‘Love At First Song’, program ‘music dating’ Lagu Cinta Kita untuk versi Malaysia kembali dengan musim ke-2 yang bakal bersiaran secara langsung di TV3 bermula 8 November 2020, setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.30 malam selama 8 episod. Ia juga boleh ditonton menerusi strim live HD di www.tonton.com.my.
Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Lagu Cinta Kita bakal menampilkan peserta yang sangat sesuai untuk disatukan dan dipertemukan melalui pilihan lagu yang sesuai dengan personaliti mereka.”
“Dalam usaha memangkinkan kisah cinta melalui lagu, kita juga menjemput ramai selebriti tempatan untuk mengambil tempat sebagai panelis cinta secara langsung di TV3. Saya pasti rancangan ini akan berjaya menjodohkan lagu dan cinta di antara dua insan,” katanya.

Lagu Cinta Kita musim kedua dihoskan oleh Elly Mazlein yang akan digandingkan dengan pasangan hos yang berlainan iaitu Michael Ang dan Azwan Ali pada setiap minggu.
Program ini mengekalkan Hael Husaini sebagai juri tetap dan Hael bakal bersama-sama dengan gandingan baharunya, Mas Idayu. Mereka berdua akan ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap episod.
Selain itu, Lagu Cinta Kita musim kedua juga akan menampilkan selebriti popular yang berlainan pada setiap episod. Selebriti terbabit akan menggalas tugas sebagai panelis cinta untuk memberi komen tentang keserasian dan berkongsi kisah cinta romantis sendiri dengan pasangan berduet.
Lebih menarik lagi, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi popular tanah air sepanjang siaran lapan episod ini. – KopiPlanet.com