Cerita ArtisHiburan

Beto Kusyairy Tidak Minat Pegang Jawatan Sebagai Pemimpin, Anggap Ia Satu Tanggungjawab Yang Sangat Besar

Perlu menghadapi pelbagai masalah yang melanda penduduk di flat, itulah cabaran yang dihadapi oleh pelakon Beto Kusyairy apabila dilantik sebagai penghulu sementara (interim).

Bagaimanapun, itu semua adalah lakonan yang ditampilkannya menerusi drama bersiri Penghulu Interim yang kini ditayangkan di saluran Awesome TV dan meraih sehingga dua juta penonton.

Menjelaskan wataknya dalam drama berkenaan, Beto memberitahu dia memegang watak Borhan, seorang pengerusi jawatankuasa (JKK) di flat Seri Kenanga yang bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah dihadapi penduduk dengan pelbagai konfilk yang dihadapi.

“Saya tertarik untuk membintangi drama ini kerana jalan cerita yang ditampilkan dengan paparan kisah nyata kehidupan yang dilalui masyarakat.

“Selain itu, saya juga tertarik dengan skrip yang dihasilkan Aloy Paradoks ini yang sudah semestinya memberikan kelainan kepada penonton,” ujarnya.

Beto berkata demikian semasa sesi sidang media secara virtual bersama barisan pelakon dan penerbit yang berlangsung baru-baru ini.

Penghulu Interim mengisahkan Borhan (Beto) yang dilantik sebagai Pengerusi JKK di flat Seri Kenanga harus menggantikan Pak Ladin yang sedang sakit.

Borhan berhadapan dengan pelbagai masalah sosial yang dialami penduduk daripada seremeh-remehnya sehingga masalah yang serius seperti kes kehilangan kasut, pecah rumah dan cubaan bunuh diri. Dengan memikul tugas tersebut, kehidupan peribadi Borhan menjadi berantakan apabila isterinya Izzah (Nadiya Nissa) mula berasa rimas. 

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia berminat sekiranya mendapat peluang untuk memegang sesuatu jawatan seperti jadi pemimpin atau penghulu dalam dunia sebenar, Beto akui dia tidak berminat ke arah itu.

Ujarnya, tugas sebagai seorang pemimpin atau penghulu ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar apabila perlu berkhidmat kepada orang ramai.

“Memang saya rasa tak sanggup nak memikul tugas sebegini. Apabila menjadi seorang pemimpin atau ketua, sudah tentu kita kurang berfikir mengenai keluarga sendiri, sebaliknya perlu memikirkan nasib orang lain.

“Saya tidak mahu keadaan sebegitu berlaku terjadi seperti watak saya sebagai Borhan dalam drama ini. Lagipun kalau dah rasa tak mampu, buat apa nak ambil risiko,” jelasnya.

Penghulu Interim terbitan Red Bean Productions dengan 24 episod turut dibintangi Nadiya Nissa, Issey Fazlisham, Roy Azman, Rosli Rahman dan ramai lagi dan sudah ditayangkan sejak 31 Julai lalu setiap hari Jumaat hingga Ahad pada pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button