Cerita ArtisHiburan

Bila Kau Tiada Hasil Nukilan Syamel, Warkah Rindu Buat Allahyarham Ibu Tercinta

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah lumrah kehidupan buat penyanyi lelaki popular Malaysia, Syameel Aqmal Mohd Fodzly atau lebih mesra dengan sapaan Syamel yang hadir dengan single terbaharu berjudul Bila Kau Tiada.

Apa yang menariknya, lagu baharu tersebut adalah merupakan hasil nukilan beliau sepenuhnya dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan Allahyarhamah umi serta ucapan takziah yang diberikan, saya serta isteri dan seluruh ahli keluarga amat menghargainya.

“Lagu Bila Kau Tiada ini memang saya ciptakan khas buat ibu tercinta yang telah pergi buat selamanya,” ujarnya yang kehilangan insan tersayang pada bulan Ogos lalu.

Namun begitu, dalam meratapi kesedihan ada berita gembira yang ingin dikongsi bersama isteri tercinta iaitu penyanyi terkenal, Ernie Zakri buat peminatnya.

“Alhamdulillah, kami suami isteri sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama dalam beberapa bulan lagi dan tak sabar rasanya bergelar ibu dan bapa,” katanya lagi.

Menurut Syamel, jalan yang terbaik selepas pemergian ibu tercinta adalah dengan mencipta sebuah lagu yang dapat mengingatkan beliau tentang sosok wanita istimewa yang telah melahirkannya ke dunia ini dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Lagu Bila Kau Tiada memang sengaja saya ciptakan bagi mengingati umi buat selamanya dan secara umumnya ia juga boleh ditujukan buat sesiapa sahaja seperti isteri, suami, ibu dan bapa mahupun kekasih.

“Kiranya ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan pada masa yang sama terlampau rindu dengan orang tersayang yang telah pergi buat selamanya,” jelasnya.

Lagu berkenaan dialunkan dalam nuansa balada pop yang sememangnya menjadi forte Syamel tatkala mula-mula bergelar penyanyi sejurus tamat pengajian di Akademi Fantasia pada 2015. 

“Jujur saya katakan bahawa ketika memasuki studio milik Sharon Paul, hati rasa berdebar kerana harus mempersiapkan mental serta emosi buat lagu ini, sehingga terpaksa saya ulangi beberapa kali sampailah proses rakaman selesai sepenuhnya.

“Namun Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan agar ada ‘jiwa’ dalam nyanyian saya, ini kerana saya telah beberapa kali bekerjasama dengan beliau sebelum ini,” tambahnya lagi.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak dengan single terbaharunya ini memaparkan perjalanan hidup Syamel dari kecil sehingga bergelar penyanyi yang turut mempamerkan emosinya yang merindui seseorang yang tidak mungkin akan kembali lagi.

“Saya telah kehilangan penyokong nombor satu saya iaitu umi, beliaulah yang selalu berada bersama saya sewaktu saya mula-mula masuk ke bidang seni selain ayah dan ahli keluarga yang lain. Namun kini, saya bersyukur dengan kehadiran Ernie sebagai suri hidup yang menyerikan kedukaan saya ditambah pula dengan kehadiran permata hati yang bakal tiba nanti  Insya-Allah.

“Saya berharap agar single Bila Kau Tiada dapat diterima oleh semua dan menjadi lagu ‘peneman’ kepada mereka yang kehilangan dan boleh didengar apabila mereka terlampau merindukan seseorang.

Lagu Bila Kau Tiada boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button