
Artis Bollywood Tangisi Pemergian Legenda Sri Devi
Ramai artis bintang Bollywood melahirkan perasaan sedih mereka di atas kematian ratu filem era 90-an, Sri Devi yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Dubai, Sabtu lalu.
Berita kematian pelakon lagenda berusia 54 tahun itu disahkan oleh adik iparnya, Sanjay Kapoor menerusi satu kenyataan media.
Priyanka Chopra merupakan antara pelakon yang terawal memberikan ucapan takziahnya kepada keluarga mendiang.
“Saya hilang kata-kata. Takziah kepada keluarga Sri Devi. Hari yang suram. Semoga bersemadi dengan aman,” tulis Priyanka di laman Twitternya.
Pelakon Aamir Khan turut menulis di media sosialnya, “Sangat bersedih dengan kematian mengejut Sri Devi. Saya sentiasa menjadi peminat hasil kerjanya. Takziah kepada keluarga mendiang. Sri Devi, kami akan sentiasa mengenangmu,” tulis Aamir.
Selain rakan artis, Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menitipkan ucapan takziah buat keluarga Sri Devi. “Bersedih di atas kematian pelakon berwibawa Sri Devi. Beliau merupakan pelakon veteran dalam bidang hiburan, yang mana hasil lakonannya cukup meninggalkan kesan buat semua peminatnya. “Takziah buat keluarga dan semua peminat Sri Devi,” tulis Narendra.
Sri Devi berada di Dubai bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya, Mohit Marwah. Mendiang ditemani suami Boney Kapoor dan anak bongsunya, Khushi.
Jasad Sri Devi akan diterbangkan ke Mumbai hari ini dan upacara pengebumian dijangka dilakukan pada esok hari. – KopiPlanet.com