
BoboiBoy Movie 2 Tercalon Finalis Anugerah Animasi Antarabangsa
Cukup membanggakan apabila filem animasi popular tempatan, BoboiBoy Movie 2 tercalon sebagai finalis untuk kategori Filem Animasi 3D Terbaik bagi Anugerah Filem Animasi New York 2020 dan Festival Filem Florence, Itali.
Berita gembira itu diumumkan penerbit filem tersebut di laman Instagram rasmi mereka, @monsta.official sebentar tadi.
Anugerah Filem Animasi New York 2020 dianjurkan oleh Cinematography Awards Foundation dan akan berlangsung secara ‘live screening’ di alam maya pada 1 Julai nanti.
Selain daripada itu, filem animasi yang turut digemari golongan dewasa ini turut mengharumkan nama negara apabila baru-baru ini memenangi dua anugerah dari Festival Filem Laurus, Rusia menerusi kategori Best Poster dan Best Teaser Trailer.
BoboiBoy Movie 2 yang ditayangkan pada 8 Ogos tahun lalu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM30 juta. Filem yang menelan kos produksi sebanyak RM7 juta itu diarahkan oleh Nizam Razak. – KopiPlanet.com