Cerita ArtisHiburan

“Bukan Merajuk, Tapi Isteri Yang Larang Saya Pergi” – Aliff Syukri

Ketiadaan usahawan yang juga merupakan penaja utama untuk program Gegar Vaganza 5 (GV5), Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pada konsert separuh akhir semalam menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Menurut Alif, beliau bukan sengaja tidak mahu menghadirkan diri, tetapi isterinya Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid melarangnya daripada berbuat demikian berikutan kontroversi yang melandanya minggu lalu.

“Saya memang nak pergi, namun pihak pengurusan iaitu isteri dan konsultan yang lain menasihatkan supaya saya tidak datang. Ketiadaan saya di GV semalam bukan disebabkan saya merajuk, sebaliknya saya hanya mengikut arahan daripada pihak pengurusan.

“Untuk konsert final, saya akan ikut apa kata pengurusan saya. Kalau isteri benarkan saya pergi, barulah saya akan pergi,” katanya kepada KopiPlanet.com sewaktu ditemui pada majlis penyerahan zakat yang berlangsung di D’Pinang Laris Hall, Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Dalam majlis itu, Alif menerusi syarikatnya, D’herbs telah menyumbangkan zakat sebanyak RM300,000, selain barangan persekolahan kepada sekolah-sekolah terpilih dari seluruh negara.

“Saya buat persiapan untuk majlis ini sudah lama, bukan disebabkan nak tutup kontroversi minggu lepas kalau itu yang didakwa oleh netizen.

“Tujuan saya adakan majlis ini bukan sebab nak tunjuk riak atau apa. Memang saya sudah lakukan perkara sebegini sejak enam tahun lalu di samping memberikan sumbangan wang dan barangan persekolahan kepada para pelajar terpilih,” ujarnya.

Minggu lalu, Aliff dikecam kerana memanggil seorang penonton wanita sebagai ‘ugly’ dalam siaran langsung konsert minggu kelima GV. Tindakannya itu menerima kecaman daripada ramai netizen serta beberapa rakan selebriti tempatan.

Mengulas mengenai isu itu, Alif berkata, “Saya tak boleh nak halang apa orang nak kata. Kalau orang tak boleh terima dengan perkara itu, saya dengan rendah diri memohon maaf.”

Konsert final GV5 akan berlangsung pada Ahad ini (18 November) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Seramai enam finalis iaitu Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya, Zamani dan duo Billy Zulkarnain akan bertanding bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM100,000. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button