Tidak dinafikan naskhah yang bergenre aksi antara filem-filem yang diminati serta sering mendapat tempat dalam kalangan penonton.
Sehubungan itu, ia telah menarik minat buat syarikat produksi Studio Screen untuk menerbitkan sebuah filem aksi yang diberi tajuk PUNGUT.
Menariknya, filem berkenaan juga telah diarahkan oleh pengarah yang cukup terkenal dengan filem-filem aksi seperti Geran dan Walid iaitu Areel Abu Bakar.
Penerbitnya, Datuk Saifulhaq Anani berkata, Pungut adalah sebuah naskhah yang memaparkan hakikat yang berlaku dalam masyarakat sekarang.
“Ia mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.
“Jadi, naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang ini dengan dijadikan sebuah kisah memaparkan kehidupan pekerja mencari rezeki sebagai pemungut sampah,” ujarnya.
Saifulhaq berkata, pemilihan Areel selaku pengarah setelah pihaknya melihat dua filem arahannya sebelum ini yang memang dekat dengan konsep cerita yang ingin kami sampaikan.
Ujarnya, filem Pungut juga memberikan kelainan tersendiri kerana ia bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah akan membuka mata penonton untuk menilai sendiri konsep naratif dalam filem ini.
“Pungut memberikan kesedaran bahawa di sebalik pembangunan yang semakin pesat, masih ada segelintir yang mencari rezeki dalam longgokan sampah,” jelasnya.
Sementara itu, Areel berkata, tajuk Pungut dipilih kerana naskhah filem berkenaan itu sendiri berkisar tentang sekumpulan pekerja yang bekerja di pusat pelupusan sampah.
“Sebenarnya saya suka menghasilkan filem yang menjurus kepada kisah-kisah realiti yang sangat dekat dengan masyarakat seperti dua filem saya sebelum ini.
“Untuk kali ini, saya angkat kisah kehidupan tentang pekerja pemungut sampah yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam pekerjaan mereka, namun turut diperkuatkan lagi dengan babak-babak aksi pergaduhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Areel memberitahu filem terbaharu arahannya itu juga menampilkan kelainan tersendiri, terutama sekali dari segi sudut penceritaan yang pastinya jarang diangkat dalam mana-mana filem aksi yang pernah dihasilkan.
“Pada saya, kisah dalam filem Pungut adalah sebuah cerita rakyat yang agak ‘terpencil’, misalnya dengan menjadikan kisah pekerja pemungut sampah ini sebagai premis utama.
“Di sebaliknya, filem ini boleh dikatakan sebagai ‘simbolik’ kepada kerosakkan sistem yang ada dalam sesebuah organisasi setempat dan itu yang saya cuba sampaikan dalam bentuk filem,” ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pembikinan filem berkenaan, Areel tidak menafikan turut berhadapan dengan cabaran ketika penggambaran filem tersebut.
Ujarnya, penggambaran dilakukan di tempat pelupusan sampah yang sebenar dan pastinya ia mengundang risiko dengan persekitaran yang tidak sihat.
“Itu antara cabaran utama, namun semuanya berjalan lancar. Apapun yang lebih penting saya ingin penonton lihat sendiri tentang kehidupan pekerja pemungut sampah ini mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.
“Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun cuba bayangkan pula jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian,” jelasnya.
Ujar Areel, dia juga sangat bersyukur kerana mendapat barisan pelakon yang mantap dan tidak mengeluh apabila perlu berlakon di tempat pelupusan sampah sebenar.
Menurutnya, kesemua pelakon yang terlibat cukup teruja dengan konsep yang diketengahkan serta memberi komitmen yang sepenuhnya.
Pada masa sama, Areel turut meletakkan harapan agar penonton dapat menonton filem Pungut dengan minda yang terbuka.
“Kepada mereka yang meminati filem-filem aksi, Pungut adalah sebuah filem yang sangat sesuai untuk ditonton kerana ia memberikan kelainan yang tersendiri,” ujarnya.
Filem Pungut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos 2024.