Casabalanca Temukan Nuha Bahrin & Naufal Azrin, Kisah Cinta Inspirasi Yang Dikongsikan Di TikTok
Kisah cinta pasangan kekasih yang banyak dikongsikan di Aplikasi TikTok menjadi asas dalam penceritaan single duet terbaharu Nuha Bahrin dan Naufal Azrin.
Seperti sedia maklum, Nuha Bahrin terlebih dahulu dikenali apabila pernah tular gara-gara persembahannya yang dianggap sumbang dan ‘terkucil’ dalam program Vokal Mania di TV3 pada 2020.
Selepas melalui fasa dikritik dan menjadi bahan jenaka warganet, Nuha Bahrin melancarkan single solo berjudul XSEMPURNA pada Mac tahun lalu.
Sementara Naufal Azrin pula pernah menganggotai kumpulan nasyid Zayne.
Dari dua genre berbeza, Nuha dan Naufal kini bersatu dalam lagu ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul karim Al Ali (Syria) berjudul Casablanca.
Biarpun lagu duet itu adalah kolaborasi pertama mereka, Nuha menyifatkan kerjasama dengan Naufal sangat bagus.
“Proses rakaman lagu alhamdulillah saya dan Naufal sangat faham antara satu sama lain. Jadi semuanya berjalan lancar. Pada saya proses penghasilan lagu ini sangat cepat dan saya rasa sebab pasukan ini sangat membantu.
“Semua orang saling tolong menolong, sokong satu sama lain dan berkongsi idea untuk menjadikan lagu ini lebih baik. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya harap semua orang boleh hargai usaha yang kami berikan untuk lagu ini,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu yang menampilkan Wan Saleh, Amir Hufaz, Khairul, dan Daqmie selaku penerbit dan pengubah lagu, Nuha berkata lagu Casablanca sangat sesuai buat mereka yang ada ‘crush’ atau yang sedang dalam percintaan.
“Pada saya tujuan utama lagu ini adalah untuk pasangan yang suka buat kandungan di TikTok jadi ia boleh dikaitkan dengan lirik lagu ini. Lagu ini mengisahkan dua orang yang sedang bercinta, macam baru mempunyai perasaan antara satu sama lain.
“Ia seperti percintaan sewaktu muda dan sangat teruja dengan cinta pertama mereka. Ia juga macam nak beritahu perasaan sebenar kepada pasangan mereka atau ‘crush’,” katanya.
Ditanya mengenai proses penulisan lagu, Nuha meluahkan rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik yang bagus dan berpengalaman luas.
“Bagi proses penulisan lagu, alhamdulillah kami ada pasukan yang baik, komposer juga bagus iaitu Daqmi dan Wan Salleh.
“Kami juga dapat bantuan daripada kawan kami dari Syria iaitu Abang Karim dan dia banyak tolong kami dalam memperbetulkan cara sebutan, terutamanya sebutan arab sebab ia perlu teliti. Kalau salah sikit sahaja terus salah maknanya. Kami belajar banyak daripada dia,” katanya.
Bagi Naufal, merakamkan lagu dan video muzik Casablanca adalah pengalaman yang cukup berharga buat diri dan kerjayanya.
“Rakaman lagu ini ambil masa selama satu hari sahaja. Lagu ini juga kami ada lirik dalam bahasa Arab dan Melayu. Untuk bahasa Arab kami diberi tunjuk ajar oleh Abdul Karim, dia yang ajar kami supaya ia sedap didengari oleh orang.
“Kalau tak memang susah nak bawa, tapi bila dia ada ia menjadi senang. Abdul Karim ini juga boleh berbahasa Melayu, jadi ia memudahkan proses rakaman lagu ini.
“Bagi proses rakaman MV pula, saya rasa seronok dan teruja sebab kita ada ‘otai’ seperti abang Akid, Kak Za dan Minur Rashid. Individu lain yang terbabit kita ada Be Positive, Be Good jadi disebabkan mereka yang terbabit inilah MV Casablanca ini menjadi mudah dan teratur.
“Kami juga baru berjinak-jinak dalam industri muzik ini senang faham dengan konsep yang mereka nak bawa,” katanya.
Sama seperti Nuha, Naufal juga berharap lagu Casablanca yang sudah dilancarkan di semua platform digital muzik sejak 20 Mei lalu itu dapat diterima baik oleh pencinta muzik tanah air.
“Harapan saya lagu ini akan diterima rakyat Malaysia dan mendapat sambutan yang baik. Sekiranya MV lagu ini dah keluar, jangan lupa untuk dengat dan tonton di YouTube,” katanya.
CASABLANCA kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya sudah boleh ditonton di laman YouTube Mashyur sejak 4 Jun 2022 jam 9 malam. – KopiPlanet.com