Shukri Yahaya Jatuh Cinta Dengan Sukan Papan Luncur Air
Bermula dari watak seorang peluncur air, pelakon Shukri Yahaya tidak menyangka minatnya dalam bidang sukan air itu semakin bercambah selepas terlibat dalam pembikinan filem, Surf This Love: Gelora Juara yang memfokuskan pada tema sukan lasak tersebut.
Disebabkan minat baharunya itu, Shukri juga sanggup menempah papan luncur air yang direka khas dari Bali, Indonesia berharga RM1,500 untuk memantapkan lagi skil dan kemahirannya dalam sukan lasak tersebut.
“Minat saya semakin hari semakin bercambah terhadap sukan luncur air sejak membintangi filem ini. Saya memang suka benda-benda lasak serta mencabar dan ini merupakan hobi baharu saya.
“Lepas ini kalau ada cuti panjang sikit, saya akan ke Pulau Tioman untuk memantapkan lagi skil dalam bidang sukan air ini. Saya pun ada kenal-kenal orang di sana yang mahir dalam sukan ini, jadi sedikit sebanyak boleh belajar lagi skil-skil baharu,” katanya.
Shukri berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada Malam Gala Surf This Love: Gelora Juara di MM Cineplexes, Damansara semalam.
Selain Shukri, filem terbitan GSR Production Sdn. Bhd. itu turut membariskan barisan pelakon seperti Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim, Ardell Aryana, Josiah Hogan, Mustaqim Bahadon dan Dottie.
Menceritakan pengalamannya berlakon dalam filem tersebut, Shukri berkata, sepanjang penggambaran kakinya mengalami kecederaan akibat terlanggar batu karang, selain tangannya sering kejang selepas melakonkan aksi di dalam laut.
“Kaki saya ada sedikit luka sebab sering terlanggar batu karang, tangan pula kejang-kejang selepas lama berada di atas papan luncur. Walaupun begitu, saya rasa sangat berbaloi dan berpuas hati dapat berlakon dalam filem ini.
“Lagi satu yang lainnya, dalam filem ini saya melakonkan watak komedi yang mana ia satu pengalaman baharu buat saya, selain ia merupakan watak utama pertama yang saya pegang dalam naskhah filem,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya adakah minat baharunya itu mendapat tentangan daripada isterinya, Tya Adnan memandangkan sukan itu agak berbahaya, Shukri berkata suri hidupnya itu sentiasa memberikan sokongan terhadap apa yang dilakukannya dan tidak pernah sesekali menghalangnya.
Surf This Love: Gelora Juara yang diarahkan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 22 Februari ini. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Shukri Yahaya