Dahulu Jual Sayur, Anas Kini Seorang Pengusaha Kosmetik
Jika dahulu dirinya mengelilingi kampung menjual hasil tanaman sayuran, kini Mohamad Anas Zahrin Atan, 31, pastinya boleh berbangga apabila berjaya menubuhkan syarikat kosmetik sendiri dengan nama ANAS Cosmetics.
Menurut Anas, darah berniaga yang diterapkan sejak dirinya kecil lagi menjadi pendorong untuk dirinya kini berkecimpung dalam bidang perniagaan.
“Sebenarnya bapa sendiri yang ajar supaya jangan malu untuk berniaga dan cari duit sendiri. Dahulu dapat RM2, RM3 sehari pun dah gembira tak terkata. Jadilah untuk buat duit belanja dan simpan sedikit.
“Namun, terdetik di hati sampai bila keluarga perlu lalui semua ini? Dari situ, saya nekad untuk mengubah kehidupan keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin. Bagi saya, hanya ilmu dan pengalaman mampu menjadikan seseorang itu berjaya dan dipandang mulia,” katanya Diploma Pengurusan Perniagaan dan Sarjana Muda Pengajian Pemasaran Univerisiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketika di universiti, Anas yang turut dikenali dengan nama Annas Easkey dan cukup dikenali dalam kalangan selebriti tempatan itu sentiasa mencari peluang untuk menambah duit poket dengan mengambil upah menangkap gambar rakan-rakan dengan kadar bayaran serendah RM50 untuk satu sesi.
“Pada peringkat awal dengan bermodalkan kamera yang dipinjam daripada rakan, saya galak mencari duit poket sendiri. Sampai satu masa, pendapatan sebulan saya pernah mencecah sehingga RM4,000 ke RM5,000.
“Apabila tamat pengajian saya nekad untuk buka studio sendiri dan berkolaborasi dengan rakan-rakan artis di samping aktif di media sosial,” katanya
Mengakui gemar dengan sesuatu benda yang cantik dan suka bermain dengan warna, Anas akhirnya nekad melancarkan produk kosmetik sendiri, ANAS Cosmetics pada Ogos 2017.
Selain mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang baru, Anas mahu jenama kosmetiknya melengkapi warna-warna wanita ASIA, yang susah untuk didapati pada jenama-jenama antarabangsa lain.
“Keunikan ANAS Cosmetics adalah harganya yang mampu milik dan rupa serta kualitinya setanding produk antarabangsa. Saya tidak mahu bangunkan produk semborono sahaja, tetapi saya akan pastikan ia sesuai dengan wanita kita dan wanita daripada kalangan pendapatan sederhana dan rendah turut mampu menggunakan produk berkualiti yang ANAS tawarkan,” katanya.
Ternyata, hasil keringat hampir setahun membuahkan hasil apabila ANAS Cosmetics mendapat pengiktirafan daripada SaSa Malaysia, peruncit kosmetik terkemuka berasal daripada Hong Kong, untuk membeli produknya untuk dijual di rangkaian butiknya.
“Kami beruntung kerana jenama ANAS Cosmetics diletakkan sebaris dengan jenama premium yang lain. Dalam tempoh dua bulan selepas kerjasama ini, produk saya ini diletakkan di 33 outlet SaSa seluruh Malaysia,” katanya.
Ketika ini, ANAS Cosmetics menawarkan lima jenis produk kecantikan termasuk gincu, pembayang mata dan maskara dan pada April ini, produk-produk berkenaan akan melebarkan rangkaian produknya kepada lebih 20 jenis termasuk penutup cela, pemerah pipi, bedak asas. Selain SaSa, produk ANAS Cosmetics juga boleh didapati di FashionValet dengan harga sekitar RM29 hingga RM89.
Berkongsi kejayaan perniagaannya, Anas berkata, dia bernasib baik kerana memiliki ramai rakan artis yang tidak kekok untuk mempromosi dan menyokong produk keluarannya itu.
“Prinsip yang saya pegang sehingga hari ini, jika buat baik pada orang, perkara itu datang balik kepada kita. Sebab tu saya tidak ramai kawan tetapi kawan yang saya ada sangat menyokong usaha saya dari dahulu hingga kini,” katanya sambil menyebut beberapa nama seperti Ayda Jebat, Izara Aishah, Hanis Zalikha dan Rozita Che Wan serta ramai lagi
Mengenai perancangan masa depan, Anas berkata, pihaknya mensasarkan ANAS Cosmetics dijual di 280 outlet SaSa seluruh dunia, termasuk di Taiwan dan Korea serta mampu menembusi pasaran Asia Barat serta Indonesia dalam tempoh lima tahun dari sekarang
“Dengan peluasan pemasaran dan penambahan jumlah produk, kita jangka pendapatan syarikat akan meningkat 10 kali ganda daripada nilai jualan semasa,” katanya.
Dia juga berharap agar jenama ANAS Cosmetics mampu menjadi jenama pilihan dan wajib ada di ‘setiap rumah’ sebaris dengan jenama antarabangsa satu masa nanti. – KopiPlanet.com