
“Daripada Termenung 24 Jam, Baik Saya Fokus GV” – Noryn Aziz
Penyanyi Noryn Aziz mengakui dia meletakkan fokus sepenuhnya dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kelima (GV5) biarpun dirinya kini sedang dilanda krisis rumah tangga. ‘
Menurut penyanyi berusia 41 tahun itu, dia sentiasa berpesan dengan dirinya untuk memberikan tumpuan dan tidak terlalu memikirkan permasalahan yang sedang dihadapinya.
“Tipulah kalau kata tak rasa apa, cuma saya dah pesan pada diri untuk fokus dalam pertandingan itu dan tidak meletakkan bebanan sepenjang masa, sedangkan saya boleh jadi lebih baik daripada termenung 24 jam yang mana masa itu tidak akan kembali lagi.
“Saya kena sentiasa berfikiran positif dan bina keyakinan diri. Sejujurnya, saya sangat bertuah di kelilingi orang yang sentiasa berfikiran positif dan bina keyakinan diri. Sejujurnya, saya sangat bertuah di kelilingi mereka yang sentiasa ada untuk memberi kata-kata semangat,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Noryn ditemui pada majlis sidang media Konsert Soul Sisters yang berlangsung di Acme Bar & Coffee, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert Soul Sisters yang bakal berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada 5 dan 6 April tahun depan menggabungkan Noryn bersama dua lagi rakan penyanyi iaitu Siti Sarah dan Misha Omar.
Krisis rumah tangga Noryn berlaku apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya itu.
Tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada Julai lalu. Perbicaraan kes mereka telah ditetapkan pada 18 Disember ini susulan ketidakhadiran Raja Kamarul dan Noryn pada prosiding sebutan kali ketiga pada 10 Oktober lalu.
Hasil perkahwinan pada 22 Januari 2010, Noryn dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun.
Sementara itu, untuk konsert semi final GV5 malam ini, Noryn diberi tugasan menyanyikan dua buah lagu iaitu Dahsyat nyanyian asal kumpulan MOJO dan Cintaku 100 Percent (Mas Idayu). – KopiPlanet.com