Cerita ArtisHiburan

Datuk Boy Iman Sasar Blok 404 Boleh Kutip RM5 Juta

Penerbit filem Blok 404, Datuk Dr Boy Iman berharap filem terbitan syarikatnya, DBI Entertainment Sdn Bhd akan berjaya mendapat kutipan seperti yang disasarkannya iaitu sebanyak RM5 juta.

Menurut Boy Iman, beliau yakin filem itu akan mendapat sambutan yang hangat daripada peminat lebih-lebih lagi daripada mereka yang menonton DVD Blok 404 dahulu.

“Saya yakin filem ini boleh mendapat sambutan daripada peminat kerana saya berani jamin filem ini sangat berbeza daripada filem aksi cemas yang pernah kita lihat sebelum ini.

“Filem ini turut membariskan lebih kurang 14 pelakon popular tanah air yang mana masing-masing mempunyai pengikut mereka sendiri. Saya sasar kutipan RM5 juta dan diharap filem ini boleh jadi fenomena seperti zaman DVD 17 tahun lalu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Boy ditemui pada majlis tayangan filem Blok 404 di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara semalam. Filem arahan Isma Yusoff itu dibintangi oleh Amar Asyraf, Risteena Musnim, Raja Azri, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Adrea Abdullah dan Zamarul Hisham. Ia turut menyaksikan penampilan khas Fasha Sandha, Kamal Adli dan Kilafairy.

Menurut Boy, filem ini sama sekali berlainan jalan ceritanya dengan DVD Blok 404 dan mengharapkan penonton dapat menerima kelainan yang cuba disuntik pengarah menerusi filem bergenre thriller itu.

“Ini bukan kesinambungan Blok 404 yang dahulu. Cuma, saya ambil judul dan pertemukan semula beberapa pelakon asalnya. Filem ini berdiri dengan judul sama tetapi ia mempersembahkan plot cerita yang berlainan, bahkan jauh lebih seram dan mendebarkan.

“Saya percaya barisan pelakon hebat yang ditampilkan juga memberi variasi kepada filem ini. Saya pun bukanlah seperti 17 tahun dulu yang pernah digilai ramai. Saya sedar diri,” katanya lagi.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda dirinya mungkin sedikit sebanyak boleh menjejaskan sambutan terhadap Blok 404, Boy Iman menjelaskan, “Bagi saya kontroversi adalah sebaik-baik publisiti. Saya berharap kontroversi itu sedikit sebanyak membantu jualan filem ini.”

Blok 404 mula menjengah di 59 pawagam seluruh negara bermula hari ini (28 Jun). Filem yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu ini menelan belanja sebanyak RM800,000. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button