
Datuk Rafiena Tak Sangka Orang Dalam Pecah Amanah, Rugi Ratusan Ribu
Pemilik syarikat produksi Dark Wave Pictures, Datuk Rafiena Ezanee Ramli mendedahkan salah seorang pekerja dalam syarikatnya telah pecah amanah sehingga menyebabkannya mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Menurut Rafiena, dia mula menyedari mengenai perkara itu sejak dua bulan lalu dan sudah pun membuat laporan polis berikutan isu penyelewengan tersebut.
“Dia sudah enam tahun bekerja dengan Dark Wave, memang tak sangka orang yang sangat saya percayai sanggup menipu saya.
“Laporan polis sudah dibuat Mac lalu dan sekarang semua masih dalam siasatan pihak berkuasa,” kata Rafiena kepada KopiPlanet.com.
Rafiena ditemui pada majlis pelancaran drama Air Mata Syurga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Rafiena turut mendedahkan hal itu mula terbongkar apabila dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan aktiviti perjalanan syarikatnya.
“Saya memang ada rasa tak sedap hati dan kebetulan pada waktu itu ibu saya pergi mengerjakan umrah. Saya minta ibu saya berdoa mohon diberikan petunjuk dan dari situ, satu-satu perbuatan tidak betul staf saya ini mula terbongkar.
“Sejak enam tahun dia bekerja, saya sudah beli enam set penggambaran yang bernilai ratusan ribu ringgit.
“Apabila terbongkar kegiatannya itu, luluh hati saya apabila dapati tinggal satu unit sahaja.
“Lagi sakit hati apabila mendapati dia sempat menjalankan perniagaan ‘haram’ tanpa pengetahuan saya. Set penggambaran itu dijual kepada individu lain dan sudah banyak wang yang dia ‘gelapkan’ tanpa saya sedari,” jelasnya.
Susulan kes ini, Rafiena, 35, berkata dia tidak teragak-agak untuk memfailkan saman sivil terhadap bekas pekerjanya yang berusia lewat 40-an itu.
“Saya nak ulas panjang pun, ia dah jadi kes polis. Jadi saya hanya biar pihak polis lakukan siastan lanjut,” katanya.
Sementara itu, drama terbaharu terbitan syarikatnya itu menampilkan lakonan Tasha Shila, Afiq Muiz, Haliza Misbun dan Elly Suriati.
Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Perth, Australia, Air Mata Syurga arahan Raja Ahmad Alauddin akan bersiaran mulai 7 Mei ini, setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam menerusi saluran HyppSensasi (116), Unifi TV. – KopiPlanet.com