“Kumpulan De Fam Telah Kembalikan Kegemilangan Elite” – Azza
Penyanyi dan pelakon Azza Elite telah menyifatkan kumpulan wanita De Fam antara yang paling menyamai kegemilangan Elite pada masa kini.
Menurut Azza atau nama sebenarnya Azzarima Zawari, 40, antara cabaran apabila menyertai dunia seni sebagai artis berkumpulan ialah masing-masing perlu bertolak-ansur dalam menggembangkan nama kumpulan.
“Saya nampak kumpulan De Fam seakan mengembalikan kegemilangan Elite dahulu dan mereka antara artis berkumpulan yang cukup berbakat pada masa kini.
“Bagi saya mudah sahaja kalau kita nak bertahan dalam sesebuah kumpulan. Setiap ahli kumpulan perlu saling bertolak-ansur, insyaAllah karier akan berjalan baik,” kata Azza kepada KopiPlanet.com.
Azza ditemui pada majlis sidang media Mask Run yang diadakan di Wow KL Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain Azza, dua lagi selebriti turut menyertai larian tersebut adalah Sasha Saidin dan Aiman Tino.
Sementara itu, Azza berkata dia kini aktif semula berlakon dan filem terbaharunya, Qhaliq bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 April ini.
“Sebelum ini saya berehat sebentar daripada industri lakonan, namun sejak mula menceburinya balik pada pertengahan tahun lepas, makin banyak tawaran diterima. Saya bersyukur tawaran tak henti-henti datang, Alhamdulilah.
“Sejak aktif balik berlakon dengan membintangi filem Qhaliq, dia semacam magis makin banyak tawaran menjelma selepas itu. Saya anggap itu semua rezeki daripada Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, walaupun dengan kepesatan teknologi maklumat masa kini, Azza tidak menafikan penglibatan pihak media sangat diperlukan golongan selebriti demi memastikan peminat mengetahui yang diri mereka masih lagi aktif dalam bidang seni.
“Saya tidak menafikan media sosial itu penting pada masa kini, namun dengan pendedahan di surat khabar, televisyen dan portal berita secara tidak langsung peminat tahu yang diri kita masih lagi wujud dalam bidang seni.
“Jadi, orang pun akan bagi tawaran kerja disebabkan pendedahan oleh pihak media. Sebagai contoh, saya kini aktif melakukan kerja pengacaraan di majlis-majlis tertutup dan sesekali dengan keluar di media, peminat sekurang-kurangnya tahu yang saya masih lagi ada dalam bidang ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com