
Deja Moss Dan Suami Dinasihat Jalani Sesi Perdamaian
Penyanyi Deja Moss dan suami, Azfendy Azzuddin Ahmad, 39, dinasihatkan untuk menjalani sesi pendamaian sebelum status rumah tangga mereka ditentukan pada 11 Julai depan.
Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, berkata dia tidak berkesempatan berkomunikasi dengan suaminya sejak bulan Disember tahun lalu dan tidak mengetahui apa sebab suaminya mahukan penceraian.
“Saya ikut nasihat daripada peguam saya untuk kebaikan kedua-dua belah pihak. Sebenarnya, banyak lagi perbincangan yang belum diluahkan (di antara Deja dan suami).
“Saya pun tidak tahu atas sebab apa dia mahu menceraikan saya. Dalam Islam kita perlu ikut hukum, disebabkan itu kami akan cuba dengan jalan perdamaian terlebih dahulu dan selepas perbincangan baharulah kami pilih sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau bercerai,” katanya.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur menetapkan mereka menjalani sesi pendamaian agar dapat berbincang mengenai hala tuju rumah tangga mereka.
Menurut Deja, suaminya memfailkan penceraian pada 5 Mac lalu dipercayai akibat beberapa artikel yang menyentuh mengenai perkahwinan mereka.
“Saya langsung tak pernah berjumpa pihak media sebelum ini menceritakan mengenai hal rumah tangga kami. Saya terkejut bila dia failkan penceraian.
“Saya nak tanya tapi saya telah dihalang oleh dia untuk berkomunikasi kerana dia sendiri ‘block’ saya. Apa yang penting saya dah lakukan bahagian saya,” jelasnya.
Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan pasangan ini masih belum mempunyai cahaya mata. – KopiPlanet.com