
Diana Chora Akui Pernah Rasa ‘Cuak’ Jadi Klon Nike Ardilla
Enggan lagi dikaitkan sebagai sebagai klon Nike Ardilla, penyanyi Diana Chora kini kembali dengan penampilan baharu yang lari daripada imej idolanya itu.
Menurut Diana atau nama pentasnya yang terdahulu, Dike Ardilla adalah merupakan idea daripada syarikat pengurusannya yang terdahulu.
Nike merupakan seorang penyanyi yang sangat popular sebelum meninggal dnia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1995 di kala usianya baharu menjengah 20 tahun.
Mengakui pernah berasa ‘gerun’ untuk membawakan nama itu kerana takut terkena ‘badi’ seperti Allahyarham Nike yang meninggal dunia ketika di usia muda, namun kini Diana berasa lega apabila dapat membawakan nama sebenarnya sebagai nama glamornya di dunia seni.
“Dulu pihak pengurusan yang berikan nama Dike Ardilla sebab mereka melihat imej saya yang agak sama dengan Allahyarham Nike Ardilla.
“Pada mulanya saya sedikit takut nak bawa nama yang seakan-akan serupa sebab risau mungkin nasib saya akan berakhir seperti Nike tapi semua itu ketentuan Allah SWT. Kita tidak boleh pertikaikan apa yang direncanakan-Nya. Yang penting kita teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sesi bertemu media di Matic, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Diana turun ke ibu kota bagi mempromosikan single keduanya berjudul Merinduimu yang baharu sahaja dilancarkan bulan lalu.
Penyanyi yang seiras dengan Bunga Citra Lestari ini pernah menghasilkan empat buah album bermula dari tahun 2000 hingga 2008 iaitu Salah Sendiri, Aku Harus Bagaimana, Berikan Setitik Air dan Sepihan Kasih sebelum dia merehatkan diri sebentar dari dunia hiburan.
Kini kembali menakluk minatnya, Diana bangkit dengan pengenalan dua buah single terbaharu, Kaulah Matahariku dan Merindumu.
“Saya kini selesa dengan imej bertudung sejak tiga tahun lalu. Bagi saya walaupun sudah berhijab, ia sama sekali tidak menghalang saya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian.
“Asalkan saya tahu jaga batas sebagai seorang Muslimah, pastinya tiada masalah untuk saya kembali menyanyi.
“Saya akan tetap terus menyanyi lagu-lagu bergenre rock memandangkan itu minat saya dan mungkin selepas ini saya akan lebih banyak teroka jenis muzik baharu seperti pop untuk memberi lebih variasi kepada peminat,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com