
Didakwa Hina Orang Asli, Siti Sarah Tampil Buat Permohonan Maaf
Beberapa hari lalu nama Penyanyi Siti Sarah hangat diperkatakan apabila didakwa menghina masyarakat Orang Asli menerusi satu video yang dimuat naik di internet.
Gara-gara video tersebut, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu teruk dikecam hebat oleh segelintir netizen terhadap isu berkenaan.
Bagi tidak mahu mengeruhkan lagi situasi, akhirnya Siti Sarah lantas membuat permohonan maaf dan menyatakan tidak pernah terlintas difikirannya untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Lebih dua dekad berada dalam industri seni tanah air, saya sangatmementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuklah setiap posting yang ingin dimuat naik di media sosial. Saya percaya segala perbuatan
akan menjadi perhatian masyarakat.
“Namun susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan. Di sini, saya ingin jelaskan bahawa saya Siti Sarah Raissuddin tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh masyarakat di Malaysia.
“Bagaimanapun, sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru saya menerima permohonan maaf yang dibuat Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat keizinan saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular,” jelasnya.
> Baca: “Duo Billy Zulkarnain Tidak Berpecah, Hanya Direhatkan Seketika” – Billy
Jelas Siti Sarah, dia berharap agar pemohonan maaf yang dibuat ini dapat diterima kerana ia bukanlah perbuatan yang disengajakan.
“Atas insiden yang berlaku ini juga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana ia bukanlah sesuatu yang disengajakan. Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir dari saya,” ujarnya. – KopiPlanet.com