Cerita ArtisHiburan

Dilihat Seakan-Akan Sudah Menyepi, Azhar Kini Muncul Secara Solo Menerusi Single Ternyata

Boleh dikatakan sudah bertahun lamanya tidak mendengar berita pelakon dan penyanyi, Azhar Osman sejak tidak lagi tampil secara duet bersama Hael Husaini menerusi duet Azhael.

Bagaimanapun, kini Azhar kembali mewarnai industri seni dengan munculnya single baharu berjudul Ternyata.

Apa yang menarikya, keputusan itu terlalu besar buatnya, apatah lagi lagu terbabit mendapat sentuhan Farouk Roman.

Azhar berkata, dia sememangnya peminat lagu-lagu ciptaan Farouk, sentiasa ternantikan lagu baharu ciptaannya kerana setiap lagu dihasilkan memiliki identiti sendirinya dan pendengar sudah corak hasil sentuhannya.

“Apabila suatu hari dia menawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya, mulanya saya ingat ia sekadar gurauan. Namun, rupa-rupanya dia memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya.

“Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga saya. Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja untuk mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu,” katanya.

Lebih istimewa, lagu berkenaan juga menjadi runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu.

Dalam pada itu, Azhar akui berdepan kerisauan yang sangat besar, kelam-kabut, gelisah, semua perasaan keluar kerana semestinya dia tidak mahu mengecewakan Farouk.

Namun begitu, selepas menjalani setiap proses rakaman, semakin hari Azhar semakin yakin untuk menggalas cabaran itu.

“Secara kasarnya, ini adalah lagu ‘comeback’ saya juga selepas kira-kira empat tahun menyepi daripada bidang seni suara. Itulah juga yang sebenarnya menjadi punca timbul seribu kerisauan dalam benak saya.

“Apapun, insyallah, saya yakin sudah memberi persembahan yang terbaik dalam nyanyian lagu ini. Terus-terang, saya memang bergelut dengan kesulitan sewaktu proses rakamannya. Apalagi tahap kegelisahan dalam diri memang sangat tinggi sehingga ke tahap berfikir sesuatu perkara secara melampau,” ujarnya.

Membuat kemunculan kembali pastinya bukan mudah dan Azhar perlu memperkenal semula namanya. Justeru, dia melihat peluang diberikan untuk menyanyi runut bunyi dari sudut optimis dan yakin terhadap aturan rezeki ditetapkan buatnya.

Semestinya dia berharap namanya akan naik semula namun rezeki lagu Ternyata pun sudah cukup baik sebagai permulaan.

“Memandangkan ia lagu runut bunyi, timbul rasa bercampur-baur di mana pertamanya saya sangat berbesar hati. Yalah, siapa yang tak mahu lagunya dimainkan dalam drama dan saya pula sudah beberapa tahun tidak menyanyi. Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus.

“Perasaan yang satu lagi semestinya terasa sedikit tekanan kerana risau sama ada lagu ini akan menjadi, memberi keadilan kepada komposer, dapat sambutan, atau tidak. Apapun, saya percaya kepada rezeki, siapa tahu mungkin inilah masa yang tepat untuk saya kembali. Saya tak kisah kalau lagu ini lebih dikenali sekadar runut bunyi,” katanya.

‘Ternyata’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button