Ditipu Pengurus Artis, Awal Ashaari Tuntut Duitnya Dipulangkan
Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari menuntut individu yang diamanahkan memegang wang hasil kerjanya agar segera memulangkan duit tersebut kepadanya.
Sekiranya wanita itu enggan memulangkan wang berkenaan, suami kepada pelakon Scha Alyahya itu berkata dia tidak teragak-agak untuk menggunakan khidmat guaman bagi tujuan tersebut.
“Saya dah lama tuntut wang hasil kerja yang dibuat tahun lalu. Individu ini merupakan orang tengah dan wang hasil kerja saya dibayar menerusinya. Namun, sampai sekarang saya masih tidak dapat lagi wang tersebut. Saya cuba untuk berkomunikasi dengan dia, tetapi apabila saya telefon dia mengelak untuk angkat.
“Saya ada dokumen sah mengenai perkara ini dan sekiranya dia masih tidak membayar wang saya, saya tidak teragak-agak menggunakan khidmat guaman bagi mengeluarkan notis ‘letter of demand’. Lepas saya tulis kapsyen mengenai saya ditipu olehnya di Instagram baru-baru ini, baru saya tahu rupa-rupanya ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah kena tipu dengan orang yang sama,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Awal ditemui pada majlis memperkenalkan duta jenama kenderaan pelbagai guna (MPV) Maxus Weststar G10 di Weststar Glenmarie, Shah Alam hari ini. Awal bersama isteri, Scha dan anak mereka, Lara Alana merupakan duta bagi automobil tersebut bagi tempoh setahun.
Menurut Awal, dia sebenarnya sudah banyak kali bekerjasama dengan individu tersebut namun tidak menyangka kali ini dia terkena dengan perbuatan tidak bertanggungjawab wanita terbabit yang juga dipercayai pengurus kepada satu pasangan selebriti suami isteri terkenal tanah air.
Enggan mendedahkan jumlah wang tersebut, Awal berharap wanita berkenaan segera memulangkan wang hasil titik peluhnya.
“Nak kata sedikit jumlah itu, tak juga. Saya tak mahu dedahkan jumlahnya tapi saya harap kalau dia baca berita ini, cepat-cepatlah dia pulangkan kembali wang saya. Lama saya tuntut dari tahun lepas lagi,” jelasnya. – KopiPlanet.com