Dokumentari Kanzun Angkat Kisah Tokoh Ulama Wanita Tempatan
Tidak dinafikan peranan seorang wanita sememangnya begitu penting termasuk dalam perkembangan agama Islam. Mungkin selama ini ulama lelaki dilihat lebih menonjol, namun ramai yang tidak tahu terdapat juga beberapa ulama wanita yang turut memainkan peranan sama.
Untuk lebih mengenali lebih dekat ulama wanita ini, kembara Sufi Production telah mengambil insiatif dengan menerbitkan sebuah dokumentari berjudul Kanzun.
Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, Kanzun adalah dokumentari yang dihasilkan untuk mengetengahkan tentang kisah ulama wanita tempatan kurang dikenali.
“Asalnya kami hendak buat kisah ulama wanita nusantara, namun disebakan Covid-19 ini, kami ubah dengan menceritakan tentang ulama wanita tempatan.
“Tidak dinafikan bukan mudah untuk menghasilkan dokumentari ini. Jadi, kajian telah dibuat dan alhamduillah beberapa maklumat telah kami peroleh,” jelasnya yang menggunakan geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menerbitkan dokumentari ini.
Menurut Jaja, seramai 13 orang ulama wanita di seluruh Malaysia yang akan diketengahkan dan penggambaran akan bermula pada bulan Disember ini.
Mengenai cabaran sepanjang membuat kajian, Jaja menyatakan antara yang terpaksa dihadapi adalah mencari maklumat ulama wanita yang sudah meninggal dunia.
“Kajian lebih mendalam perlu dilakukan, misalnya perlu berhubung dengan masyarakat setempat yang berada di kawasan ulama wanita berkenaan atau ahli keluarga untuk mendapat lebih banyak maklumat.
“Kalau ikut perancangan kami perlu membuat kajian selama enam bulan. Namun, kami perlu percepatkan penerbitan dokumentari ini mengikut jadual yang telah ditetapkan bersama pihak FINAS,” jelasnya.
Ujarnya, dokumentari Kanzun akan ditayangkan pada tahun hadapan sebanyak 13 episod selama 30 minit (setiap episod) di saluran RTM. – KopiPlanet.com