
DO[s]A Ubati Rindu Ashraf Berlakon Produksi Tempatan
Setelah lebih 10 tahun tidak berlakon di bawah produksi tempatan, akhirnya kerinduan Ashraf Sinclair terubat apabila dia terlibat dalam pembikinan drama bersiri aksi terbitan Astro berjudul DO[s]A.
Menerusi naskhah kerjasama tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura itu, Ashraf membawakan peranan sebagai abang sulung kepada empat beradik yang belajar seni mempertahankan diri daripada bapa mereka lakonan Datuk M. Nasir.
“Saya melakonkan watak Fuad, abang sulung empat bersaudara yagn sangat melindungi keluarganya. Saya sudah berikan komitmen terbaik untuk cerita ini seperti dikehendaki skripnya,” katanya ketika ditemui pada Malam Galam DO[s]A di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Untuk menghayati wataknya, Ashraf dan pelakon lain telah menjalani latihan intensif selama sebulan untuk babak aksi selain berat badannya juga turun sebanyak dua kilogram sepanjang menjayakan penggambaran drama itu pada Julai tahun lalu.
“Saya mengalami kecederaan ketika membuat persiapan untuk drama ini. Nasib baik sudah pulih apabila penggambaran drama ini dimulakan di Jakarta.
“Ia sangat mencabar kerana membabitkan 22 koreografi dan seperti berlakon dalam lapan filem,” ujarnya lagi.
Selain Ashraf dan Datuk M.Nasir, DO[s}A turut dibintangi Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana dan bintang Indonesia seperti Reuben Elishama, Hannah Abdul Rashid dan Roy Marten.
DO{s}A merupakan kerjasama di antara Astro, Arie Zaharie Production dan syarikat produksi Indonesia, Capitol Entertainment Production.
Ia mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Datuk M.Nasir) dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan displin persilatan. Fuad (Ashraf), Farid (Remy), Fahad (Hisyam) dan Fara (Shenty) hidup di pelusuk paling sunyi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Perhubungan keluarga mereka mula bergolak selepas Fara berkenalan dengan seorang jejaka dari Jakarta, Arian (Reuben) yang mahu bertemu dengan Latif. Menyedari akan hal itu, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus berhubung dengan Arian.
Bengang dengan tindakan abangnya itu, Fara telah melarikan diri ke Jakarta untuk bertemu Arian tanpa mengetahui tempat itu adalah sangat berbahaya buatnya.
Baharu sahaja menjejakkan kaki ke sana, Fara telah diculik sehingga menyebabkan ketiga-tiga abangnya terpaksa terbang ke tanah seberang bagi mencarinya.
Dapatkah mereka menemui Fara? Sama-sama nantikan tayangan DO[s]A di Astro First bermula 14 Februari ini. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Ashraf Sinclair