
Dr Irma Tak Terkilan Lagu Banyak Ditolak Penyanyi Popular
Pemilik syarikat pengurusan artis, Dr Irma Entertainment, Dr Irma Shida berkata dia tidak pernah berputus asa dalam menggembangkan bakatnya dalam bidang penghasilan dan penulisan lirik lagu.
Menurutnya yang juga merupakan seorang doktor gigi di Johor Bahru, dia menceburkan diri dalam bidang seni semata-mata demi mahu melunaskan minatnya sejak dari dahulu lagi.
“Saya memang suka bidang penciptaan lagu biarpun mempunyai klinik gigi sendiri. Saya bersungguh-sungguh nak membangunkan Dr. Irma Entertainment.
“Setakat ini, saya sudah mempunyai tiga artis residen di bawah syarikat ini iaitu Akmar Natasha, Ray Asri dan Gyha. Ketiga penyanyi baharu ini kami akan cuba ketengahkan agar bakat mereka dapat ditunjukkan kepada peminat di luar sana,” katanya kepada KopiPlanet.com
Dr Irma ditemui pada majlis sidang media pengenalan artis di bawah pengurusan Dr Irma Entertainment yang diadakan di MM2 Cineplexes, Damansara baru-baru ini.
Menurut Dr Irma lagi, dia bukan tidak mahu mengambil penyanyi yang sudah ada nama mempunyai nama besar bernaung di bawah syarikatnya sebaliknya dia mahu memberi ruang dan peluang kepada penyanyi-penyanyi yang baharu hendak mula menapak dalam industri.
“Kami mempunyai perancangan dan strategi untuk memperkenalkan penyanyi di bawah naungan agar bakat besar mereka dapat menarik hati peminat seni tempatan.
“Selain itu, saya pernah menghantar beberapa demo lagu ciptaan kepada ramai penyanyi popular seperti Misha Omar, Tomok dan Hafiz Suip namun ia ditolak oleh mereka. Saya tak salahkan mereka, mungkin pihak pengurusan mereka yang berasakan lagu itu tidak sesuai untuk penyanyi mereka.
“Walaupun sering kali berhadapan dengan perkara sebegitu, ia tidak langsung mematahkan semangat saya untuk terus berkarya di masa akan datang,” ujarnya.
Salah seorang pendatang baharu yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan bakat baharu Dr Irma Entertainment iaitu Suara Juara, Akmar Natasha tidak menyangka impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya tercapai apabila menjuarai program nyanyian itu tahun lalu.
Dengan kemenangannya itu, Akmar, 19, kini tampil dengan single pertamanya, Sendiri yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Dr Irma.
“Sebelum ini saya banyak masuk pelbagai pertandingan nyanyian termasuk juga pertandingan lagu kantonis dan akhirnya rezeki untuk bergelar penyanyi sudah tercapai selepas saya menang pertandingan Suara Juara.
“Untuk single pengenalan ini, saya memang menyukai lagu-lagu genre balada dan diharapkan single ini dapat diterima ramai,” katanya.
Lagu Sendiri kini sudah boleh didapati menerusi semua platform muzik digital dan muzik videonya juga sudah boleh ditonton di Youtube. Yang menariknya, muzik video yang diarahkan oleh Didie A Samueil ini turut menampilkan pelakon Azrel Ismail. – KopiPlanet.com