
Dalam usaha untuk memberikan lagi pilihan alternatif bagi merancakkan industri kandungan kreatif, portal hiburan ‘Gempak’ membawakan sebuah lagi drama mini bersiri berjudul Mata Cinta menerusi penerbitan ‘Gempak Original Series’ sebagai daya tarikan terbaharu di platform digital.
Ketua Pemasaran Bahagian Melayu dan Gempak, Raja Jastina Arshad berkata, ketika ini pelbagai khidmat penstriman dan muat turun banyak ditawarkan secara berleluasa.
“Nilai kebergantungan kepada teknologi alat peranti dan akses mudah alih internet di ruang digital juga sangat tinggi, sekaligus mengubah budaya menonton kelompok pengguna yang kami sasarkan.
“Pemerhatian kepada trend semasa dalam masa yang sama menunjukkan pengguna peranti berinternet pada masa kini lebih cenderung untuk menonton pengisian hiburan terutamanya kandungan premium secara santai dan tidak gemar menghabiskan masa yang lama untuk menonton sesebuah kandungan menerusi peranti mereka,” ujarnya.
Mula disiarkan secara eksklusif di www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 Oktober 2017, Drama romantik komedi sebanyak 10 episod berkenaan diarahkan oleh sutradara muda, Shazreen Fazlynda dan diterbitkan syarikat produksi Red Communications Sdn. Bhd.
Lebih mengujakan, drama mini Mata Cinta juga buat pertama kalinya menggandingkan dua pelakon berdarah kacukan sebagai teraju utama iaitu pelakon popular, Che Puan Juliana Evans yang memegang watak Matahari dan pelakon baharu, Julien Buteau dengan watak Ariq Anaqi.
Drama mini Mata Cinta mengisahkan Matahari (Che Puan Juliana Evans) yang sedang pulang bercuti dari England untuk menghabiskan cuti semester sementara menolong kakaknya, Cahaya (Sasha Saidin) menguruskan perniagaan salun rambut.
Sewaktu sedang membeli barang di Watsons, dia bertemu jurujual kacak bernama Anaqi (Julien Buteau). Di situlah bermula detik pengenalan mereka.
Namun begitu, ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan hubungan Anaqi dan Matahari semakin renggang. Pada masa yang sama, perniagaan salun Cahaya juga sedang mengalami masalah dan Matahari cuba membantu sedaya upayanya untuk memulihkan keadaan agar kembali kepada sedia kala. – KopiPlanet.com