DramaTV

Drama Ratu Ten Pin Papar Kisah Mengenai Sukan Boling, Tampilkan Bekas Juara Dunia Sebagai Penasihat Teknikal

Boleh dikatakan drama-drama yang mengetengahkan tentang sukan agak kurang dipaparkan di kaca televisyen.

Sehubungan itu, JS Pictures Sdn. Bhd. mengambil peluang untuk menerbitkan sebuah drama mengenai sukan boling iaitu Ratu Ten Pin yang disiarkan di saluran Astro Ria.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, pihaknya cuba lari daripada kebiasaan dan memilih untuk mengangkat genre sukan kepada penonton.

“Walaupun genre sebegini mungkin jarang kami pertontonkan, namun ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dan dilihat mampu menarik minat peminat drama Melayu tempatan khususnya.

“Acara sukan dan program hiburan sebenarnya mempunyai elemen persamaan iaitu kedua-duanya bukan sekadar untuk dinikmati atau ditonton bersama tetapi ia juga bersifat sebagai ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat,” ujarnya.

Jelasnya, penceritaan drama Ratu Ten Pin juga banyak menyuntik nilai-nilai murni untuk memberi inspirasi, terutamanya berkenaan semangat kesukanan, perjuangan, persahabatan, kecekalan dan sebagainya dalam bentuk hiburan santai. 

Drama 16 episod ini turut mendapat sentuhan Azman Yahya atau lebih sinonim dengan panggilan Jinggo selaku pengarah serta Rozse Faisal dan Chinta Adeesha selaku penulis skrip.

Drama Ratu Ten Pin menampilkan Elisya Sandha, Fify Azmi dan bekas pemain boling yang pernah mewakili Malaysia di arena antarabangsa iaitu Syaidatul Afifah selaku teraju utama.

Selain itu, antara nama-nama besar lain yang membintangi drama menarik ini termasuklah Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati. 

Lebih istimewa lagi, ratu tenpin boling negara yang juga merupakan bekas juara dunia, Shalin Zulkifli turut dilantik sebagai penasihat teknikal untuk drama ini agar dapat berkongsi kepakaran sekaligus memberi informasi yang lebih tepat berkenaan teknik sukan boling.

Sementara itu, Jinggo selaku pengarah mengakui proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, tumpuan atau penekanan penuh perlu diberikan untuk setiap babak yang ingin dihasilkan kerana ia melibatkan sesuatu yang di luar konteks.

“Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar sebagai pengarah. Bukan itu sahaja, cabaran untuk menjadikan seorang atlet kepada seorang pelakon dan sebaliknya juga merupakan sebuah kejayaan yang tidak sangka dapat dilakukan dalam tempoh masa cuma sebulan.

“Bagi mendapatkan ‘feel’ sebenar, kami turut membawa masuk khidmat atlet luar biasa bertaraf dunia untuk sukan boling iaitu Shalin Zulkifli untuk membantu kami daripada segi teknikal,” jelasnya.

Menurutnya, mereka turut mendapatkan bimbingan pasukan boling yang sebenar untuk melatih barisan pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak nampak seperti dibuat-buat.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 28 Jun 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button