DramaTV

Drama Saga Paparkan Penceritaan Tentang Aktiviti Pertaruhan Haram, Tampilkan Elemen MMA

Boleh dikatakan pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) kini semakin dikenali ramai dan cukup popular.

Sehubungan itu, Astro telah mengambil pendekatan untuk menayangkan sebuah drama dari Singapura berjudul Saga yang menampilkan elemen MMA sebagai penceritaan utamanya.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, genre aksi lasak sering meraih perhatian serta menjadi pilihan para penonton.

“Walaupun kami jarang mengetengahkan seni bela diri sebagai elemen utama penceritaan menerusi drama-drama yang pernah disajikan sebelum ini, namun kini tiba masanya kami lari daripada kebiasaan dan mengambil langkah berani apabila sepenuhnya mengangkat sukan tempur campuran MMA sebagai nadi penting dalam drama ‘SAGA’.

Drama Saga merupakan sebuah naskhah yang sebenarnya sarat dengan elemen emosi sehingga menjadikan jalan ceritanya kelihatan ‘berat’. Namun, ia bukanlah tertumpu kepada elemen pertarungan lasak dan pergolakan semata-mata, tetapi turut mengandungi mesej dan nilai positif sebagai pengajaran bersama,” ujarnya.

Raqim berkata, percaya penceritaan kisah dalam drama berkenaan pastinya bakal membawa kelainan yang menyeronokkan kerana kekuatan jalan ceritanya yang luar biasa dan menghiburkan.

“Plot penceritaan drama ini berkisarkan kegiatan mengatur perlawanan dan aktiviti pertaruhan haram yang melibatkan sukan tempur MMA.

“Meskipun sarat dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama kekeluargaan dan pengorbanan dalam naratif penceritaan mengusik jiwa yang penuh mendebarkan. 

Konsep asal dan skrip drama mini empat episod ini diilhamkan oleh Amanah Mustafi serta turut mendapat sentuhan Faisal Ishak selaku pengarah. Drama Saga diterajui oleh barisan bintang popular kelahiran Kota Singa seperti Datuk Aaron Aziz, Nick Mikhail, Jeff Catz, Nadiah M. Din, Syarif, Shahrin Azhar, Imam Shah dan Hamidah Salim.

Saga bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11  Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button