Ebby Saiful Teringin Dayang, Liza Hanim & Hazama Nyanyi Lagu Ciptaannya
Biarpun dilihat tidak lagi aktif dalam bidang lakonan, namun pelakon Ebby Saiful, 59, sebenarnya banyak menghabiskan masanya dengan mencipta lagu dan terlibat dalam bidang pengarahan.
Ebby yang juga merupakan seorang penyanyi dan komposer turut mendedahkan impiannya yang mahu penyanyi bersuara hebat seperti Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Hazama untuk menyanyikan lagu ciptaannya.
“Saya sebenarnya masih lagi aktif dalam bidang seni, cumanya saya jarang berlakon. Sebaliknya, lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja pengarahan. Selain itu, saya turut cipta beberapa lagu yang kesemuanya datang secara tiba-tiba tanpa mengira masa.
“Kalau boleh saya teringin nak penyanyi-penyanyi berbakat besar seperti Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Hazama menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya. Saya akan beri mereka kebebasan untuk pilih lagu mana yang kena dengan jiwa mereka. Kalau nak buat lagu, kita kena tengok personaliti penyanyi itu macam mana agar mereka boleh menghayati lagu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Ebby ditemui pada majlis sidang media teater Pokok di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi teater arahan U-Wei Haji Shaari itu, Ebby akan bergandingan dengan Haliza Misbun, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar.
Pokok yang merupakan skrip hasil tulisan bekas pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar akan dipentaskan di Auditorium DBP bermula pada 7 hingga 16 Disember ini.
Untuk rekod, Ebby di awal kemunculannya dalam persada seni hiburan tanah air dahulu pernah menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama New Breed.
Selain itu, dia juga merupakan komposer untuk lagu Bunga-Bunga Berguguran yang pernah mencipta populariti buat aktres dan penyanyi Fauziah Datuk Ahmad Daud menerusi filem Suara Kekasih. – KopiPlanet.com