
Ed Sheeran Umum Bertunang, Nak Berhenti Main Muzik
Penyanyi dan komposer terkenal, Ed Sheeran mengumumkan dirinya sudah bertunang dengan kekasih, Cherry Seaborn.
Menerusi entri di Instagramnya, Ed berkata dia melamar kekasihnya itu ketika sambutan tahun baharu.
Ed, 26, berkenalan dengan tunangnya sejak dari kecil dan hanya mula berpacaran sejak tiga tahun lalu ketika sama-sama menghadiri konsert rakan baiknya, Taylor Swift.
Penyanyi lagu Perfect ini juga pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan dunia seni selepas dia mempunyai cahaya mata.
“Saya ingin meninggalkan segalanya (kerjaya) selepas menimang cahaya mata. Saya tidak akan berasa kesal melakukannya kerana saya sudah ada kehidupan baharu yang perlu diberi perhatian selepas ini.
“Jika anda sudah mempunyai anak, pastinya fokus anda sudah berubah dan anda hanya ingin menjadi bapa yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.
Pemenang Anugerah Grammy ini juga memasang impian untuk menimang cahaya mata sebelum usianya mencecah 30 tahun. – KopiPlanet.com