Cerita ArtisHiburan

Ella Nasihat Haqiem Rusli Jadi Matang Dan Berfikiran Positif

Ratu rock negara, Ella menasihatkan penyanyi muda, Haqeim Rusli agar sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi apa sahaja rintangan sepanjang pembabitannya dalam bidang seni.

Menurut Ella, atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, Haqiem seharusnya berfikiran lebih matang dan tidak terlalu mengikut emosi memandangkan dia di antara penyanyi muda yang sangat berbakat buat masa ini.

“Haqiem seharusnya perlu lebih berfikiran positif dan matang. Kalau dia tidak melakukan begitu, macam mana dia nak pergi jauh dalam industri.

“Bagi saya dia memang seorang yang sangat berbakat sebab dia mempunyai suara yang sedap didengar, pandai cipta lagu dan seorang yang kreatif.

“Apa yang saya boleh cakap dia kena pentingkan bakatnya daripada mengikut emosi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ella ditemui pada majlis sidang media Konsert Metal Legend 2 di Oasis Village, Ara Damansara semalam.

Haqiem, 20, sebelum ini membuat kenyataan mengatakan dia akan membuat keputusan sama ada mahu terus kekal dalam bidang seni ataupun bersara menjelang bulan Julai ini.

Menurut pelantun lagu Tergantung Sepi itu, dia berkira-kira untuk bersara awal kerana mengalami kemurungan akibat tekanan yang dihadapinya sepanjang bergelar anak seni.

Sementara itu, Ella bakal muncul dalam konsert Metal Legend 2 Live In JB di mana dia akan berkongsi pentas dengan kumpulan Prime Domestic.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 7 September ini akan diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor jam 8.30 malam.

Keesokan hari di lokasi dan masa yang sama, berlangsung konsert Cromok dan Sil Khannaz. Kedua-dua konsert rock ini dibawakan khas oleh penganjur, Dreamstage Event.

Menurut Ella, dia akan cuba membuat kelainan menerusi konsert kali ini selain ada beberapa kejutan yang disediakan untuk para penonton.

“Untuk konsert ini, Ella ada kejutan untuk peminat. Kalau nak tahu apa dia, silalah datang konsert.

“Selain itu, Ella akan menyanyikan 15 buah lagu yang kebanyakannya diambil dalam album terbaharu ‘Peace, Love, Rindu’.

“Ella juga akan berduet dengan Korie menerusi lagu Pergilah Kasih kerana ke mana-mana sahaja Ella pergi memang lagu itu antara yang mendapat permintaan tinggi daripada peminat,” katanya.

Tiket-tiket berharga RM58, RM78, RM80, RM150 dan RM250 (meet and greet session) boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button