Emosi Nabila Huda Pernah Mudah Tersentuh Ketika Berlakon Filem M4M4
Pelakon Nabila Huda mengakui filem horror thriller lakonannya, M4M4 (MAMA) menuntut dirinya untuk bermain dengan emosi yang cukup berat.
Nabila berkata, suaminya menegur perubahan emosinya yang mudah tersentuh sepanjang menjalani penggambaran filem ini tahun lalu.
“Suami pernah tegur emosi saya senang berubah tiba-tiba jadi beremosi bila bercakap dengan dia disebabkan saya terlalu terbawa-bawa watak filem ini ke dalam kehidupan realiti. Watak saya sebagai Aini sememangnya memberi kesan kepada saya.
“Saya pasti filem ini akan membuka mata masyarakat tentang isu rogol yang sering berlaku di luar sana. Saya harap filem ini memberi pengajaran kepada semua. Lagipun saya memang suka berlakon filem yang memperkasakan wanita sebagai subjek utamanya,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem M4M4 yang berlangsung di mmCineplexes eCurve, Damansara semalam.
Filem M4M4 arahan Eyra Rahman ini turut dibintangi Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Eyra Hazali, Niezam Zaidi, Ungku Hariz dan Izzy Reef.
Menceritakan lebih lanjut tentang filem berkenaan, melakonkan watak sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Nabila memberitahu sepanjang penggambaran ini air matanya tumpah pada setiap babak yang dijayakannya.
Ujarnya, dia menangis pada hampir keseluruhan babak dalam filem berkenaan memandangkan jalan ceritanya yang cukup dekat dengan dirinya.
“Saya sendiri merupakan ibu kepada seorang anak perempuan, bayangkan kalaulah kejadian seperti yang dalam filem ini berlaku kepada anak sendiri, memang perit nak terima. Saya dengan Bella Dowanna yang melakonkan watak anak saya dalam filem ini juga sudah ada ‘bonding’ sebelum penggambaran bermula. Jadi, senang nak bawa watak itu bila kita dah ada rasa ‘connected’ antara satu sama lain.
“Memang saya menangis betul-betul dan tidak menggunakan sebarang bantuan untuk menangis seperti titik ‘eye mo’. Kalau saya buat macam itu, memang lakonan itu tidak sampai dan penonton pun tidak akan merasai emosi keperitan seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam keadaan tragis.
“Pengarah juga banyak beri panduan untuk mencorakkan watak yang dibawakan. Bagi saya, dalam setiap filem yang dilakonkan, saya memang akan ikut kehendak pengarah supaya watak saya tidak stereotype dengan watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.
Filem terbitan Da Motion Pictures ini akan ditayangkan di 107 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei mulai 6 Februari ini.
SINOPSIS M4M4:
Kisah bermula pada hari lahir ke-16 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.
Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Danny (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.
Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan dirogol dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.
Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com