Cerita ArtisHiburan

Enggan Caras Pelakon Veteran, Che Ta Tak Rela Disolek Jadi Tua

Pelakon Rozita Che Wan menyatakan pendiriannya bahawa dia tidak akan menerima maa-mana tawaran lakonan yang menuntutnya untuk disolek kelihatan tua daripada usia sebenar.

Menurut Rozita, 46, atau lebih mesra dipanggil Che Ta, dia beranggapan watak tersebut perlu diberikan kepada pelakon veteran bagi membantu kerjaya seni mereka.

“Kenapa harus saya ambil watak yang memerlukan muka saya kena mekap jadi tua? Lebih baik beri sahaja kepada pelakon veteran yang sedia ada.

“Kalau tidak, nanti pelakon veteran kita yang ada nak lakonkan watak apa? Bukan apa, bila saya ambil karakter yang kena mekap tua, kasihan pelakon veteran tak dapat tawaran pula,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Family Spy yang diadakan di Restoran My Elephant Thai, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi drama bersiri tersebut isteri kepada Zain Saidin ini melakonkan watak seorang nenek kepada cucu yang berusia lapan tahun.

“Saya tidak kisah sekiranya diberikan tawaran watak nenek asalkan wajah saya tidak perlu disolek menjadi tua.

“Lagipun itulah realitinya saya sekarang sudah ada anak-anak yang besar,” ujarnya lagi.

Menerusi drama yang bakal ditayangkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula 11 Mac ini, Che Ta bergandingan dengan Alif Satar, Nynna Harizal dan Datin Maria Farida.

Hujung tahun lalu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac mengumumkan pelakon muda dilarang mengenakan solekan watak orang tua mulai 1 Januari 2020 bagi memberi ruang dan peluang kepada pelakon veteran sedia ada bagi menggalas peranan tersebut. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button