Enggan Lagi Dikecam, Aina Abdul Jadikan Kontroversi Baju Berdarah Ketika AJL 34 Sebagai Pengajaran
Penyanyi Aina Abdul menjadikan persembahan semasa Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) pada tahun lalu sebagai pengajaran yang paling penting buat dirinya dan enggan lagi dikecam.
Ujar Aina, untuk saingan AJL 35 kali ini, dia akan mengikut garis panduan yang ditetapkan, di sebalik tampil dengan konsep yang tersendiri dan akan diingati penonton.
“Pada tahun lepas persembahan saya menjadi kontroversi, sampai video persembahan saya kena sekat di YouTube. Pada tahun lalu, saya masih baharu dan tidak pasti tentang garis panduan.
“Pada kali ini, saya betul-betul take note apa yang boleh atau sebaliknya. Saya hanya mahu membuat persembahan yang orang akan ingat, tak kisah menang atau tidak dan yang penting saya rasa puas,” ujarnya.
Pada AJL 34, persembahan Aina menjadi kontroversi setelah menampilkan aksi seperti mesej bunuh diri dengan gimik baju berdarah sehingga mendapat kecaman ramai serta video persembahannya telah disekat.
Dalam pada itu, Aina turut meluahkan rasa kurang senangnya apabila ada segelintir yang cuba membanding-bandingkan kekuatan vokalnya dengan penyanyi lain yang beraksi di pentas AJL 35.
Ujarnya, antara penyanyi yang dibandingkan dengan dirinya adalah sahabat baiknya sendiri iaitu Ernie Zakri.
“Apabila berjumpa kami tak suka cakap pasal vokal. Boleh dikatakan hubungan kami sangat rapat. Jadi, apabila dibanding-bandingkan saya tidak berapa happy.
“Ernie Zakri ada kekuatan dia sendiri dan saya pula dengan cara saya sendiri,” ujarnya. – KopiPlanet.com