
Enggan Terus Lemah, Ardell Aryana Sibukkan Diri Sertai Aktiviti Kemanusiaan
Pelakon Ardell Aryana menyatakan dia bertindak untuk bergiat aktif dalam aktiviti misi kemanusiaan kerana tidak mahu terus berada dalam keadaan yang lemah.
Menurut Ardell, sepanjang berhadapan melawan penyakit sebelum ini selama dua tahun, dia sering bersendirian ketika berhadapan dengan penyakit.
“Sebelum ini bila saya duduk dan menangis sendiri sambil meratapi keadaan yang saya sendiri tidak tahu akan berlaku pada masa akan datang akan membuatkan saya lemah dan fikiran saya lebih ke arah negatif berbanding positif.
“Apabila saya sertai misi kemanusian dan bertemu dengan orang yang lebih susah, ternyata itu adalah kekuatan yang Tuhan beri pada saya. Misalnya, saya tidak berasa penat pun semasa menolong orang lain,” ujarnya.
Ardell berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran pembukaan cawangan Hairy Mary yang berlangsung di Publika baru-baru ini.
Pada bulan hadapan, Ardell bersama suaminya, Nadzmi Adhwa akan terbang ke Syria untuk misi kemanusiaan anjuran Yayasan Tabung Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).
Ujarnya, buat masa sekarang ini keadaan kesihatannya bertambah baik, namun hanya berhadapan dengan masalah tekanan darah terlalu rendah.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan menafikan dia kini sedang berbadan dua apabila dimasukkan ke hospital sebelum ini selama beberapa hari.
“Sebelum ini pun saya selalu ditahan di hospital, tetapi bukanlah disebabkan mengandung. Cuma, tempoh hari saya memang ada masalah tekanan darah rendah,” ujarnya. – KopiPlanet.com