Enggan Ulas Lagi, Janna Nick Mohon Maaf Secara Terbuka
Pelakon popular Janna Nick membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengarah Sheila Rusly sekiranya status yang dimuat naik pengarah itu ditujukan kepadanya.
Menurut Janna, biarpun dia sendiri tidak mengetahui apa puncanya, namun dia mengambil pendekatan untuk memohon maaf secara terbuka.
“Sebenarnya saya sudah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada pihak sana (Sheila Rusly), tetapi tiada sebarang respons yang diterima.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk memohon maaf secara terbuka. Sekiranya tiada juga respons, apa yang boleh saya buat adalah memohon ampun kepada Allah,” ujarnya.
Janna berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk telefon keluaran terbaharu Vivo V15Pro yang berlangsung hari ini.
Baru-baru ini, hubungan Janna dan Sheila Rusly dikatakan agak keruh setelah pengarah berkenaan memuat naik status berbaur sindiran yang seakan-akan ditujukan kepadanya.
Tambahnya, dia juga enggan mengulas panjang terhadap permasalahan yang timbul memandangkan dia sudah bertanya sendiri kepada pengarah berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
“Jadi, saya rasa lebih baik kalau pihak wartawan sendiri yang bertanya terus kepadanya sebab saya sendiri pun tidak tahu apa puncanya.
“Lagipun saya enggan komen lebih-lebih kerana tidak mahu melampaui batas sebagai seorang anak didik. Saya tetap rasa diri ini kecil dan apa yang saya buat setiap hari adalah mahu mencari rezeki,” ujarnya.
Tidak dapat menahan sebak ketika diwawancara, Janna menyatakan sekiranya dia ada membuat sebarang kesilapan, apa yang mampu dilakukannya adalah dengan memohon maaf dan berharap hubungan mereka akan kembali jernih. – KopiPlanet.com