Cerita ArtisHiburan

Faizal Tahir & Amira Othman Bergandingan Menerusi Single Alah Bisa, Lagu Pop Rakyat Padat Dengan Nasihat

Penyanyi serta penggubah lagu multi-disiplin tersohor negara, aktivis kemanusiaan, Faizal Tahir, dengan penyanyi, pelakon dan pengacara berimej ‘polos’, Amira Othman, ditemukan dalam sebuah single istimewa berentak pop rakyat ala Melayu yang diberi judul ‘Alah Bisa’ hasil kerjasama kreatif di antara label rakaman butik, Faithful Music, bersama-sama label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.

Amira berkata, pada mulanya dia agak terkejut juga apabila diberitahu oleh pihak Rocketfuel tentang kolaborasi ini bersama Faizal yang merupakan sebuah nama besar dalam industri muzik yang sudi mempelawanya untuk bekerjasama secara duet dalam sebuah lagu.

“Alhamdulillah, saya anggap ini semua rezeki yang tidak disangka-sangka, siapa yang tidak mahu berduet dengan penyanyi hebat sepertinya.

“Lagipun Faizal merupakan salah satu pencetus inspirasi saya ketika berada di Akademi Fantasia pada tahun 2013,” jelas Amira dalam nada teruja.

Single Alah Bisa merupakan sebuah karya hasil ciptaan secara kolektif oleh Faizal Tahir sendiri, bersama-sama komposer berbakat seperti Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim dan Mage dari Faithful Publishing.

Bagi Amira, proses rakaman single pada kali ini agak mencabar bagi dirinya kerana ia merupakan lagu duet dengan konsep berbeza yang belum pernah dibawakannya sebelum ini.

“Saya memasuki Studio Faithful sebanyak dua kali, pertama untuk mendengar demo dan kemudiannya untuk proses rakaman yang memakan masa sekitar lima ke enam jam lamanya.

“Banyak yang saya pelajari dari abang Faizal Tahir ketika berada di studio, Glow Rush dan seluruh team sangat supportive dan senang bekerjasama dengan mereka,” tambah Amira lagi.

Sementara itu, Faizal memberitahu Single yang berkonsepkan pop Melayu dengan elemen lagu rakyat ini walaupun ada nilai tradisionalnya tetap diselitkan dengan muzik moden agar kedengaran segar dan lebih catchy buat pendengar.

“Muzik video lagu ini pula memaparkan watak saya sebagai bapa kepada Amira yang memberi pesan walau apa jua yang kita lakukan teruskanlah menjaga solat, kerana solat yang konsisten akan membawa kita kembali ke jalan yang lurus dan betul.

“Kita akan melalui zaman yang berbeza daripada ibu bapa dan anak-anak kita dengan pelbagai ragam manusia, janganlah kita sesekali menilai dan menjatuhkan hukuman berdasarkan zahirnya sahaja kerana kita tidak tahu cerita mereka terutamanya dari segi ibadah mereka.

Lagu ‘Alah Bisa’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Faizal Tahir. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button