Cerita ArtisHiburan

Fareast Kembali Bergabung Bersama Beberapa Anggota Lama, Muncul Dengan Single Warkah Munsyid

Nama kumpulan nasyid Fareast tidak perlu diperkenalkan lagi dan sejak ditubuhkan sejak 2001 mereka pernah menghasilkan tujuh album yang kebanyakan lagu mereka mendapat tempat di hati pencinta irama nasyid tempatan.

Tidak dinafikan kemunculan Fareast yang ketika itu dianggotai empat anak muda yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis menjadi kegilaan dan berjaya mencipta populariti tersendiri.

Sepanjang 20 tahun berada dalam arena nasyid tanah air, kumpulan berkenaan juga sudah melakar pelbagai kejayaan antaranya menerusi Juara Anugerah Nasyid IKIM menerusi lagu Syahadah, Vokal Terbaik Anugerah Nasyid IKIM (Gugur Di Setiamu), Finalis Anugerah ERA, Finalis Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan banyak lagi.

Dan bersempena meraikan sambutan ulang tahun ke-20, Fareast muncul dengan single Warkah Munsyid yang turut menggabungkan beberapa anggota lama kumpulan itu dengan menggelarkan kemunculan mereka menerusi projek ini sebagai FAREASTIMEWA.

Mereka terdiri daripada Nabil Ahmad (Ustaz Nabil); Shairiman Badzri (Cikgu Man); Ahmad Fadzli Bakar (Fadzli); Naemul Helmi Mohd Napiah (Naim Mirwana) dan Raja Muhammad Suhaimi Bin Raja Chulan (Maliq Suhaimi).

Lagu Warkah Munsyid adalah hasil ciptaan Fadzli (Fareast) dan Amy Bong dan lirik oleh Fadzli dan Hazalinda yang mana video muzik bakal dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music Music.

Mewakili Fareast dan Fareastimewa, Nabil Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Nabil, lagu Warkah Munsyid adalah sesuatu yang istimewa selain menjadikan ia projek ‘reunion’ bersama anggota lama Fareast dalam meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

“Lagu ini adalah single yang cukup istimewa kerana ditulis bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Fareast dalam persada nasyid tanah air. Lagu ini diterbitkan sepenuhnya oleh Fadzli Fareast dan Fareast. Lagu ini dirakam pada Disember tahun lalu dan video muzik pada April lalu,” katanya.

Berkongsi lanjut, Nabil berkata lagu Warkah Munsyid menceritakan perjalanan mereka sepanjang 20 tahun lalu.

“Lagu ini menceritakan mengenai luahan hati kami berkenaan perjalanan sebagai pendakwah di atas pentas dengan menyampaikan mesej melalui lagu Islamik. 20 tahun bukan tempoh pendek dan panjang. Sebab itu dalam beberapa rangkap lagu menggambarkan perjalanan ini yang mana pelbagai kerenah dan perangai yang kami temui sepanjang menjalankan dakwah ini. Sama ada dari sudut kami menyampaikan dan orang terima mesej. Jadi, banyak yang kami belajar. 

“Kedua, kami nak kongsi nasihat dan pandangan terutama kawan-kawan dan adik-adik kami yang baru nak mencipta nama apa yang penting dalam nak berdakwah ini adalah ukhwah Islamiah. Inilah kekuatan utama. 

“Sebab itu dalam video muzik ia menceritakan perihal kami yang bertitik tolak bermulanya Fareast di UiTM Arau, Perlis. Sebab itu rakaman video muzik ini sepenuhnya di sana. Sebab kami nak seolah-olah menggamit kenangan 20 tahun lalu bermulanya nama Fareast di UiTM Arau. Kemudian barulah berhijrah ke Kuala Lumpur dan sebagainya. Dalam video muzik itu kami berkumpul sekali, dan itulah kami bergabung semula membabitkan anggota lama dan baharu,” katanya.

Menurut Nabil, menerusi lagu Warkah Munsyid itu dia bersama anggota dua lagi anggota Fareast kini dapat menggabungkan beberapa anggota lama Fareast.

“Kumpulan Fareast bersilih ganti, bermula dengan empat anak muda, semuanya pelajar di UiTM Arau. Selepas berhijrah ke KL dan bekerja, sejak itu Fareast dah bersilih ganti. Album pertama empat orang, album kedua pun empat orang, album ketiga berlima, album keempat dan kelima empat orang. 

“Kalau ikutkan sekarang, Fareast tinggal bertiga. Sebab ada yang bergerak solo, sertai kumpulan lain, menjadi DJ radio, cikgu dan banyak lagi. Jadi, kami ada keluarga besar, sebab itu namakan FAREASTIMEWA khas untuk projek ini. Memang kalau ada jemputan kita akan bawa kawan-kawan yang pernah menganggotai Fareast dan namakan dengan Fareastimewa atau Fareast & Friends.

“Sebenarnya idea untuk menggabungkan kesemuanya bermula dari Darussyifa’. Mereka nak minta lagu tribute untuk pengasas Darussyifa’, Allahyarham Datuk Dr Haron Din. Ketika itu kami dapat idea bawa vokalis Fareast dulu. Itu yang kami jemput bermula dengan lagu Pewaris. Kemudian dapat pula peluang terbabit dalam program IKIM, kami buat lagu berjudul Pelita. Terbaharu lagu ini, Warkah Munsyid. Seolah-olah projek ini yang berturut-turut memberi peluang kepada kami untuk saling bekerjasama,” katanya.

Pembabitan beberapa anggota lama Fareast dalam projek lagu Warkah Munsyid itu diharap dapat meneruskan legasi nasyid mereka sekali gus berdakwah kepada peminat.

“Besar harapan untuk terus berada dalam bidang ini. Atas sokongan dan dukungan yang tak pernah berhenti daripada kawan-kawan dari dulu sampai sekarang. Bahkan ada otai-otai nasyid yang sentiasa membantu. Generasi demi generasi sentiasa memberikan impak positif seni suara. 

“Selama 20 tahun, kadang kami fikir ini yang terakhir. Tapi berbalik soal dakwah, nabi Muhammad SAW sehingga wafat pun dakwah tetap diteruskan. Jadi, ini bukan warkah terakhir kami, tapi ini adalah warkah untuk diri sendiri dan semua munsyid. 

“Kami harap lagu ini diterima semua lapisan. Konsep bukan terlalu nasyid walaupun mesej untuk nasyid, tapi masih boleh dikategorikan sebagai irama kontemporari dan mesej umum. Dalam hidup ini pelbagai kerenah manusia yang kita kena sabar dan kuat. Apa yang penting terus belajar daripada pengalaman kehidupan bagi mematangkan kita,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button